Kemalangan Maut Tersepit Pintu Lif

bkf 052013 vm
Rajah 1: Lakaran kedudukan mangsa yang tersepit pintu lif

Satu kemalangan maut melibatkan orang awam akibat tersepit pintu lif telah berlaku pada Julai 2013 di sebuah pangsapuri awam. Kejadian berlaku semasa sekumpulan pelajar sekolah lebih kurang 17 orang (berumur 11-17 tahun) dan seorang dewasa sedang menaiki lif dari aras bawah menuju ke atas. Lif kar yang dinaiki telah berhenti di aras 3 dan kedua-dua pintu lif (pintu kar dan pintu lataran) terbuka untuk 4 orang penumpang yang hendak turun di aras tersebut. Seorang penumpang yang berdekatan dengan pintu lif telah keluar dari kar dan ketika mangsa hendak keluar, tiba-tiba kar bergerak ke bawah dengan pantas menyebabkan mangsa yang hendak keluar tersepit dengan separuh bahagian badan mangsa berada di antara litup lubong lif (sebelah pintu lataran) dengan pintu kar. Ini menyebabkan kar terhenti di antara aras 3 dan 2 (rujuk Rajah 1).

Penyiasatan di bilik jentera meliputi mesin lif. Pemeriksaan ke atas bahagian brek mendapati pelapik brek telah menipis sehingga kira-kira 4mm. Pelapik brek ini berusia 3 tahun (lif dipasang pada tahun 2010 dan beroperasi pada tahun yang sama). Ketebalan standard pelapik adalah lebih kurang 9mm. Umumnya jangka hayat sesebuah pelapik brek ini adalah lebih kurang 5-8 tahun(*).pelapik brek ini mungkin dipengaruhi oleh beberapa faktor antaranya adalah 1) disebabkan geseran berterusan di antara pelapik brek dengan gelendong brek disebabkan penjajaran dan penetapan (adjustment and setting) yang tidak baik; dan 2) kekerapan berlaku brek kecemasan akibat gangguan bekalan elektrik dan sebagainya.

Berikut adalah langkah-langkah keselamatan bagi mengelakkan kejadian yang sama berulang:

  1. Adalah menjadi tanggungjawab pemunya memastikan bahawa lif sentiasa disenggara dengan sempurna dan berjadual terutama komponen-komponen keselamatan lif seperti brek, limit switch, pengawalimbang dan lain-lain;
  2. Firma yang dilantik untuk menjalankan penyenggaraan harus sentiasa memantau dan memeriksa kerja penyenggaraan dan pembaikian dijalankan;
  3. Kerja penyenggaraan yang dilakukan ke atas lif hendaklah mematuhi kehendak kod dan piawai yang diiktiraf atau kehendak pembuat;
  4. Penyelia firma penyenggara harus sentiasa menilai kefahaman juruteknik yang menjalankan tugas bagi memastikan tugas yang dijalankan adalah sempurna dan mematuhi kehendak kod piawai atau standard yang digunakan;
  5. Pemeriksaan berkala sepenuhnya ke atas lif perlu dijalankan sekurang-kurangnya sekali pada tiap-tiap 3 bulan oleh orang yang kompeten dan memastikan lif diservis dan dilaras sekali pada tiap –tiap bulan. Sebarang pemerhatian harus direkodkan di dalam buku daftar lif. Aktiviti ini dapat membantu untuk mengenalpasti samada komponen-lif berfungsi dengan baik atau telah mengalami kerosakkan; dan
  6. Orang awam dinasihati agar tidak keluar dari lif sekiranya berlaku sebarang abnormaliti dalam operasi lif contohnya lif terhenti pada tingkat yang tidak sepatutnya; pintu lif terbuka ketika lif sedang bergerak dan lain-lain. Kerja menyelamat hanya boleh dijalankan oleh BOMBA atau pihak yang berkenaan.

Rujukan:

  1. Lift Modernisation Design Guide, Roger E. Howkins *
  2. Akta Kilang dan Jentera 1967(Akta 139) & Peraturan-Peraturan, Kaedah-Kaedah dan Perintah
  3. Laporan Awal Kejuruteraan Forensik Kes Maut Tersepit Pintu Lif, Shaharudin Mohd Ali, Eza Marny Marzuki dan Shafiee Abdollah
  4. Analisa kegagalan brek elektromekanik di lif penumpang, Ir Dr Mohd Fairuz Ab Rahman

Cetak