Talian Paip Nitrogen Pecah

Sebahagian rangkaian talian paip yang digunakan untuk menyalurkan gas nitrogen di sebuah loji pembuatan telah mengalami kegagalan dan pecah. Kejadian berbahaya ini berlaku selepas isian semula cecair nitrogen daripada lori pengangkutan ke tangki simpanan selesai dibuat. Tiada kehilangan jiwa mahupun kecederaan dilaporkan kerana tiada pekerja bekerja di kawasan terbabit semasa kejadian.

Siasatan mendapati hampir ke semua talian paip yang diperbuat dari bahan keluli karbon telah pecah semasa kemalangan. Terdapat juga kegagalan pada bahagian kimpalan talian paip tersebut.

Talian Paip Nitrogen Pecah
Rajah 1: Pecahan pada paip. (a) Kesan kimpalan pada talian paip yang mengalami kegagalan. (b) Bahan kimpalan dan bahan asal talian paip pada jarak dekat. (c) Kepingan talian paip yang telah mengalami kegagalan patah rapuh

Cadangan Penambahbaikan:

  1. Kimpalan pada kawasan yang kritikal dan bertekanan tinggi hendaklah dilakukan oleh pengimpal yang bertauliah. Proses dan kaedah kimpalan yang dijalankan hendaklah menepati kehendak standard yang berkenaan.
  2. Rekabentuk tangki simpanan dan talian paip yang digunakan hendaklah mengikut piawaian dan koda amalan rekabentuk yang berkenaan.
  3. Injap keselamatan tekanan hendaklah diletakkan pada bahagian tangki simpanan yang sesuai untuk mengelakkan tekanan lampau berlaku tanpa dikesan. Injap keselamatan ini hendaklah juga bersesuaian dengan julat tekanan kerja yang digunakan.
  4. • Sesetengah bahan logam boleh berubah sifat menjadi sangat rapuh apabila dikenakan suhu yang terlalu rendah. Keadaan ini boleh menyebabkan kegagalan berlaku dalam jangka masa yang sangat cepat dan tanpa dapat dikesan. Oleh itu bahan logam yang digunakan untuk tangki simpanan dan talian paip hendaklah bersesuaian dengan gas/ cecair dan suhu/ tekanan operasi tersebut terutamanya yang melibatkan proses atau penggunaan bahan cryogenic.

Cetak