doshheaderbm

Slider

SYARIKAT PERKAYUAN TELAH DIDENDA DI MAHKAMAH

press statement01

 JABATAN KESELAMATAN DAN KESIHATAN PEKERJAAN
KEDAH

SYARIKAT PERKAYUAN TELAH DIDENDA DI MAHKAMAH

Alor Setar, 8 Mei – Sebuah syarikat perkayuan telah dijatuhkan hukuman denda oleh Mahkamah Sesyen 5 Alor Setar atas tiga (3) pertuduhan di bawah Peraturan-Peraturan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Pemberitahuan Mengenai Kemalangan, Kejadian Berbahaya, Keracunan Pekerjaan dan Penyakit Pekerjaan) 2004, Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994. Hakim Puan Sharifah Norazlita Binti Syed Salim Idid telah mengarahkan Besgrade Plywood Sdn. Bhd. membayar denda sebanyak RM 4,000.00 atau penjara selama 4 bulan sekiranya gagal membayar denda bagi setiap pertuduhan.

Bagi pertuduhan pertama dan kedua, Besgrade Plywood Sdn. Bhd. sebagai majikan didapati telah gagal dengan serta merta memberitahu JKKP Kedah dengan cara paling cepat mengenai dua (2) kemalangan maut yang berlaku iaitu pada 31/3/2017 dan 19/2/2018 di tempat kerja. Besgrade Plywood Sdn. Bhd. telah dituduh melakukan kesalahan di bawah Peraturan 5(1)(a)(aa) dan (bb), Peraturan-Peraturan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Pemberitahuan Mengenai Kemalangan, Kejadian Berbahaya, Keracunan Pekerjaan dan Penyakit Pekerjaan) 2004, Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.

Manakala bagi pertuduhan ketiga, Besgrade Plywood Sdn. Bhd. telah gagal untuk memastikan tiada gangguan di tempat kemalangan maut dengan mengalihkan conveyer di atas Log Peeling Machine UROKO 2. Besgrade Plywood Sdn. Bhd. telah dituduh melakukan kesalahan di bawah Peraturan 9, Peraturan-Peraturan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Pemberitahuan Mengenai Kemalangan, Kejadian Berbahaya, Keracunan Pekerjaan dan Penyakit Pekerjaan) 2004, Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.

Pendakwaan telah dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa JKKP Kedah, En. Mohd Najib Bin Anuar. Siasatan terhadap kes pula telah dijalankan oleh pasukan penyiasat yang diketuai oleh En. Mohammad Afdzal Bin Abu Seman.

###

Dikeluarkan oleh:
Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kedah
8 Mei 2019

Cetak Emel