Penyakit seumur hidup

Utusan Online, 2 April 2015

Kacang parang, ubat gegat, antibiotik, ubatan herba antara makanan dan bahan yang perlu dijauhi penghidap Glucose -6- Phosphate Dehydrogenase atau G6PD seumur hidup, jika tidak mereka menempah maut.

Mungkin amaran itu kedengaran sedikit lucu dan pelik, namun bagi penghidap serta ibu bapa yang mempunyai anak G6PD adalah sangat penting untuk mereka mempunyai pengetahuan tentang perkara itu.

Menurut Konsultan dan Kardiologis Pediatrik Hospital Pantai Kuala Lumpur, Dr. Azam Mohd. Nor, G6PD bukan sejenis penyakit atau kecacatan, tetapi merupakan masalah kekurangan enzim keturunan yang terdapat dalam sel darah merah manusia.

Kekurangan enzim ini menyebabkan sel darah merah mudah pecah apabila penghidap terdedah kepada bahan-bahan yang tidak dibenarkan.

Katanya, ini boleh berlaku apabila sel darah tidak lagi mampu mengangkat oksigen ke seluruh badan dengan berkesan sehingga mengundang pelbagi gejala lain yang lazimnya mula dikesan sejurus bayi dilahirkan.

“Perlu diketahui, penghidap G6PD kebanyakannya lelaki kerana penyakit itu berkaitan dengan padanan kromosom yang menentukan jantina individu.

“Ini kerana lelaki mempunyai padanan kromosom XY dan apabila kromosom X tidak berfungsi, tiada kromosom yang dapat menggantikan kromosom berkenaan, berbeza pula dengan perempuan yang mempunyai padanan kromoson XX dan lazimnya mereka hanya sebagai pembawa,” katanya.

Pun begitu, ada juga terdapat kes melibatkan penghidap perempuan, namun sangat terpencil.

Jelas beliau, walaupun kes kematian disebabkan G6PD tidak banyak, penghidapnya sangat tinggi dalam kalangan rakyat negara ini kerana faktor keturunan.

Disebabkan itu juga kes G6PD juga sangat ketara melibatkan masyarakat di negara Asia dan Meditrenean.

Biarpun tidak berbahaya, namun bagi bayi atau kanak-kanak G6PD boleh membawa kepada komplikasi lain seperti kekuningan dan kerosakan otak yang boleh menyebabkan terencat akal.

“Apa yang dirisaukan ketika peringkat bayi baharu dilahirkan ialah bayi yang menghidap G6PD mudah mendapat jaundis (kekuningan) dan tahap jaundis mereka mudah naik secara mendadak sehingga boleh menyebabkan kerosakan otak.

“Ini berlaku kerana sel darah merah penghidap G6PD mudah pecah dan membolehkan bilirubin meningkat dengan cepat dan pada tahap tertentu bilirubin memindahkan toksin ke otak dan menyebabkan risiko terencat akal.

“Sebab itu, bayi yang ada demam kuning kita akan letak mereka di bawah lampu (fototerapi) untuk menurunkan tahap bilirubin dalam darah,” katanya.

Oleh itu kata Dr. Azam, adalah sangat penting untuk mengetahui sama ada bayi yang dilahirkan itu penghidap G6PD atau tidak melalui ujian saringan darah yang diambil sejurus ibu melahirkan bayi atau dalam tempoh 24 jam.

“Ibu bapa di negara ini agak bertuah kerana di mana-mana hospital yang menyambut kelahiran, bayi mereka wajib diambil sampel darah di bahagian tali pusat bagi tujuan mengenal pasti sama ada bayi terbabit penghidap G6PD atau tidak.

“Ini bagi memastikan penghidap G6PD dilindungi daripada terdedah dengan ubat-ubatan yang tidak dibenarkan atau bahan-bahan yang tidak boleh terkena kepada mereka sejak dari bayi lagi.

“Jika dapat dikesan awal, G6PD bukanlah satu ‘penyakit’ yang perlu dibimbangkan, namun ibu bapa dan individu penghidap G6PD perlu mengetahui perkara-perkara yang perlu dilakukan untuk mengurangkan kejadian yang lebih buruk,” ujarnya.

Dalam konteks rawatan pula, jelas Dr. Azam, kekurangan enzim G6PD berlaku seumur hidup dan tiada satu rawatan yang khas dapat menyembuhkan G6PD kerana penghidapnya tidak perlu dirawat jika tidak menunjukkan sebarang komplikasi yang lebih buruk.

Apa yang penting terutama kepada kanak-kanak, ibu bapa perlu memastikan anak-anak mereka tidak melakuka perkara yang membolehkan sel darah merah pecah seperti makan kacang parang, terdedah kepada ubat gegat, makan antibiotik yang mengandungi sulfur, ubat anti-Malaria dan udara yang mengandungi bahan kimia seperti ubat nyamuk.

Selain itu, ibu bapa perlu memaklumkan kepada doktor setiap kali membawa anak yang menghidap G6PD ke hospital sebelum menerima apa-apa rawatan bagi memastikan ubat yang diterima selamat untuk mereka.

 

 

Cetak Emel