BIM dan KKP

Disediakan oleh Ir. Dr. Mohd Fairuz bin Ab Rahman, Ts. Nazruddin bin Mat Ali, Mohamad Syamir bin Senin

1. BIM - Pemodelan Maklumat Bangunan adalah cara kerja kolaboratif yang bersandarkan teknologi digital yang membolehkan kaedah yang lebih cekap semasa merancang, menyiapkan dan menyenggara aset binaan fizikal.

2.   Pelancaran Dasar Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) Negara menghendaki JKKP sebagai agensi penguatkuasa untuk memahami bagaimana teknologi digital moden, seperti BIM, boleh memberi manfaat kepada prestasi keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) di tapak pembinaan.

N4IR

3.   Manfaat yang diperoleh tidak terhad kepada projek yang berskala besar, malah projek yang bersaiz sederhana juga boleh mendapat manfaat daripada ketepatan reka bentuk yang bertambah baik, dan keupayaan untuk meningkatkan kerjasama dalam kalangan pasukan projek melalui pemodelan maklumat.

4.   BIM, digunakan dengan betul, dapat membantu pasukan projek untuk mengamalkan saranan kepada mereka dalam Garis Panduan OSHCIM.

5.   Beberapa manfaat yang telah dikenalpasti adalah:

  1. Berbincang menggunakan model membantu pasukan projek pembinaan mengenal pasti dan mengurangkan risiko semasa perancangan;
  2. Memodelkan persekitaran tapak membantu merancang logistik, memastikan akses dan jalan keluar yang baik, dan dapat mengawal risiko kepada orang awam;
  3. Menggunakan gabungan model untuk pengesanan pertindihan sangat berkesan, contohnya, dalam menjimatkan masa yang digunakan di tapak untuk menyesuaikan laluan paip dan mengurangkan pendedahan risiko semasa menebuk lubang pada konkrit;
  4. Menambah garis masa, dan menganimasikan turutan pembinaan boleh membantu pereka bentuk membuat model berulang-ulang;
  5. Semakan bersama antara klien, pereka bentuk dan kontraktor sebelum memulakan kerja di tapak dapat mengenal pasti masalah, mencari penyelesaian, dan mengenal pasti cara menjimatkan masa projek. Kecekapan, membuat dengan betul pada kali pertama, mengelakkan pembaziran, tekanan dan kemalangan yang berlaku ketika kerja harus diubah pada saat-saat terakhir. Kerjasama yang lebih baik menghasilkan prestasi KKP yang lebih baik.

6. Di luar proses reka bentuk, lebih banyak manfaat diperoleh apabila maklumat KKP dihasilkan, dikongsi dan disimpan untuk digunakan semula oleh orang lain di tapak atau dalam projek akan datang, contohnya sebagai sebahagian daripada Fail Keselamatan dan Kesihatan.

7. Model yang dibina dalam proses reka bentuk dapat digunakan kembali, contohnya untuk membangunkan pernyataan kaedah visual dan untuk menunjukkan bagaimana kerja penyenggaraan harus dilakukan. Pengurus fasiliti boleh menggunakan model yang dibina untuk membantu membuat keputusan dan penilaian risiko.

8. BIM perlu diguna pakai dengan pelaksanaan Common Data Environment (CDE) di mana pihak-pihak berkepentingan bekerjasama secara kolektif secara langsung dalam satu sumber sistem maklumat berasaskan awan yang dapat menbantu capaian kepada: maklumat keselamatan dan kesihatan; maklumat sedia ada dan mendapatkan maklumat reka bentuk daripada pereka bentuk yang lain. Ini dapat digunakan untuk menyemak hazards keselamatan dan kesihatan, mendapatkan maklumat pra-pembinaan, merekod risiko signifikan dan bagaimana risiko ini diurus atau dikawal dan mencegah pertindihan antara elemen reka bentuk seperti loji dan komponen struktur.

9. Beberapa kegunaan dan manfaat BIM ditunjukkan dalam video ini:

https://youtu.be/cLjaImD_M-0

Untuk maklumat lanjut berkaitan video ini, hubungi:
Ts. Louis Tay CS
Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.
Persatuan Teknologi Malaysia


10. Pengenalan BIM, yang melibatkan pengurusan rekod digital untuk perancangan, kaedah dan dokumen lain, memastikan bahawa semua dokumen yang berkaitan dengan reka bentuk dan pembinaan dijangka dapat disimpan secara elektronik.

Rujukan:
Laman Sesawang HSE, UK. https://www.hse.gov.uk/construction/lwit/bim.htm.

 

 

Cetak Emel