Kualiti Udara Dalaman

Kualiti udara dalaman menerangkan bagaimana udara dalaman boleh memberikan kesan kepada kesihatan, keselesaan dan kebolehan untuk bekerja. Antara aspek yang mempengaruhi kuaIiti udara dalaman adalah suhu, kelembapan relatif, kulat, bakteria, pengudaraan yang tidak baik, dan juga pendedahan kepada bahan kimia. Kesedaran mengenai pencemaran udara dalaman adalah kurang jika dibandingkan dengan pencemaran udara luaran. Walau bagaimanapun, isu kualiti udara dalaman telah mendapat perhatian masyarakat umum apabila bahan cemar udara yang baru dijumpai, jenis rekaan bangunan moden yang memisahkan persekitaran dalaman dan luaran, dan juga peningkatan kes sindrom bangunan sakit.

Kualiti udara dalaman yang tidak baik akan menyumbang kepada ketidakselesaan, kesan kepada kesihatan, ketidakhadiran kerja dan produktiviti yang rendah. Kualiti udara dalaman yang baik akan memberi kesan kepada kesihatan yang baik kepada penghuni bangunan sekaligus menyumbang kepada keselesaan dan kesejahteraan. Antara kesan kesihatan yang disebabkan oleh kualiti udara dalaman yang tidak baik adalah penyakit Legionnaires, kanser akibat pendedahan radon dan keracunan karbon monoksida. Bagi impak kesihatan yang lebih meluas adalah seperti kesan alahan dan asma akibat pendedahan kepada bahan pencemar seperti habuk dan kulat, ketidakselesaan akibat kesejukan melampau, penyakit berjangkit melalui udara dan simptom-simptom Sindrom Bangunan Sakit seperti pening dan sakit kepala, keletihan melampau, masalah kulit dan lain-lain. Kesan-kesan dan impak kesihatan seperti ini akan menyumbang kepada perbelanjaan rawatan perubatan, cuti sakit dan kurangnya produktiviti kepada penghuni-penghuni bangunan berkenaan.

Pada tahun 2010, Jabatan telah memperkenalkan Tataamalan Industri Kualiti Udara Dalaman 2010 bagi meningkatkan pematuhan tempat kerja yang dimaksudkan. Aktiviti-aktiviti yang melibatkan isu-isu kualiti udara dalaman adalah melibatkan penyiasatan aduan yang diterima daripada pekerja. Prosedur melakukan aduan boleh dirujuk di dalam Tataamalan Industri Kualiti Udara Dalaman 2010. Proses melakukan siasatan biasanya melibatkan 5 aktiviti utama iaitu lawatan awal tempat aduan, pengukuran paras kontamina yang terkandung di tempat aduan, penganalisian data, perbincangan dengan majikan dan pengeluaran laporan

Tataamalan Industri bagi Kualiti Udara Dalaman 2010 (ICOP IAQ 2010)

ICOP IAQ 2010

Tataamalan Industri ini dikenali sebagai Tataamalan Industri bagi Kualiti Udara Dalaman 2010 yang diluluskan oleh Menteri Sumber Manusia pada 30 Ogos 2010 dan akan menggantikan Code of Practice on Indoor Air Quality yang dilancarkan oleh Menteri Sumber Manusia pada bulan Julai 2005.

Kualiti udara dalaman (IAQ) yang baik diperlukan bagi persekitaran kerja dalaman yang sihat. Kualiti udara dalaman yang kurang baik boleh menyebabkan pelbagai masalah kesihatan jangka pendek dan jangka panjang. Masalah kesihatan yang biasanya dikaitkan dengan IAQ kurang baik termasuk tindak balas alahan, masalah pernafasan, kerengsaan mata, sinusitis, bronkitis dan pneumonia. Masalah IAQ berlaku di dalam bangunan yang dilengkapi sistem pengalihudaraan mekanikal dan penyaman udara (MVAC) termasuk unit pendingin udara pisah. Masalah IAQ boleh disebabkan oleh bahan cemar udara dalaman atau pengalihudaraan yang tidak mencukupi.

Terdapat banyak punca bahan cemar udara dan antara punca yang lazim ialah asap tembakau persekitaran (ETS) yang dibebaskan oleh pembakaran produk tembakau; pelbagai bahan kimia seperti formaldehid yang dibebaskan daripada hiasan; sebatian organik meruap yang dibebaskan daripada penggunaan pelarut; dan ozon yang dibebaskan oleh mesin fotokopi dan pencetak laser. Perlu diambil perhatian bahawa ETS telah dikenal pasti sebagai karsinogen kepada manusia oleh Agensi Penyelidikan Kanser Antarabangsa (IARC) dalam tahun 2002 dan pendedahan kepada ETS akan meningkatkan risiko penyakit jantung koronari.

Tataamalan ini digubal untuk memastikan pekerja dan penduduk dilindungi daripada kualiti udara kurang baik yang boleh menjejaskan kesihatan dan kesejahteraan mereka, dan dengan ini mengurangkan produktiviti mereka. Kewajipan majikan dan mereka yang bekerja sendiri ke atas pekerja mereka adalah seperti yang ditetapkan di bawah Seksyen 15 Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (AKKP), manakala Seksyen 17 AKKP menetapkan bahawa kewajipan ini turut menjadi kewajipan am majikan dan mereka yang bekerja sendiri kepada orang lain selain pekerja mereka.

Tataamalan Industri ini turut menekankan kewajipan penghuni tempat kerja ke atas orang selain pekerjanya yang ditetapkan dalam Seksyen 18 AKKP. Penghuni adalah orang yang terlibat dalam pengurusan atau mempunyai kawalan ke atas tempat kerja. Kewajipan ini perlu dilaksanakan ke atas orang yang bukan pekerjanya tetapi menjalankan kerja di premisnya. Pematuhan Tataamalan Industri ini boleh digunakan sebagai bukti amalan baik dalam mahkamah.

Parameter Fizikal & Senarai Bahan Cemar Udara Dalaman dan Had Boleh Terima

Jadual 1: Julat boleh terima bagi parameter fizikal khusus

Parameter
Julat Boleh Terima

(a) Suhu udara

23 – 26 °C

(b) Kelembapan relatif

40-70%

(c) Pergerakan udara

0.15 – 0.50 m/s

Jadual 2: Bahan cemar udara dalaman

Bahan Cemar Udara Dalaman
Had Boleh Terima
ppm
mg/m3
cfu/m3
Bahan Cemar Kimia

(a) Karbon Monoksida

(b) Formaldehid

(c) Ozon

(d) Zarah Ternafaskan

(e) Jumlah Sebatian Organik Meruap (TVOC)

 

10

0.1

0.05

-

3

 

-

-

-

0.15

-

 

-

-

-

-

-

Bahan Cemar Biogikal

(a) Jumlah Kiraan Bakteria

(b) Jumlah Kiraan Kulat
 

-

-

 

-

-

 

500*

1000*

Petunjuk Persediaan Pengalihudaraan

(a) Karbon Dioksida

 

C1000

 

-

 

-

Nota:

  • Bagi bahan cemar kimia, hadnya adalah kepekatan di udara purata berpemberat lapan jam.
  • mg/m3 adalah miligram per meter persegi udara pada 25°C dan satu tekanan atmosfera.
  • ppm adalah bahagian wap atau gas per juta bahagian udara tercemar menurut isi padu.
  • cfu/m3 adalah unit membentuk koloni per meter padu.
  • C adalah had siling yang tidak boleh dilebihi pada bila-bila masa. Bacaan melebihi 1000 ppm merupakan petunjuk pengalihudaraan tidak mencukupi.
  • * lebihan kiraan bakteria tidak semestinya menunjukkan risiko kesihatan tetapi menjadi petunjuk bagi siasatan lanjut.

 

 

Pencemaran Kulat

 

Organisma Kulat

Kulat adalah sejenis fungus yang biasa dijumpai di permukaan bumi dan merangkumi 25 peratus biomass di bumi ini. Contoh kulat jenis lain yang berkaitan adalah yis dan cendawan. Kulat merupakan organisma yang sentiasa wujud di atas bumi dan bertindak sebagai pengurai bahan organik bagi mengekalkan kesinambungan tumbuhan dan haiwan. Kulat dihasilkan daripada sel-sel filamen yang dipanggil hifa. Dalam kondisi yang bersesuaian, hifa boleh membesar menjadi string yang berkaitan dan membentuk struktur badan kulat tersebut atau lebih dikenali sebagai mycelium. Mycelium ini boleh dilihat dengan mata kasar. Kulat boleh membiak melalui spora. Walaubagaimanapun, kulat juga boleh membiak jika sebahagian fragmen hifa yang patah dipindahkan ke kawasan yang mempunyai kelembapan dan bahan makanan organik yang mencukupi.

Terdapat beberapa jenis kulat yang wujud di dalam persekitaran dalaman iaitu:

  • Cladosporium
  • Penicillium
  • Alternaria
  • Aspergillus
Penyebab Pertumbuhan Kulat

Kulat sememangnya mempunyai daya tahan yang tinggi dan boleh menyesuaikan diri dengan baik. Kulat mendapat nutrien yang diperlukan melalui penguraian bahan organik. Kebanyakan kulat yang ditemui pada udara dalaman adalah saprotrophic, iaitu kulat yang mendapat sumber makanan daripada bahan organik lembap yang mati seperti kayu, kertas, cat, fabrik, tanah, habuk dan makanan mentah ataupun dimasak. Kulat boleh juga tumbuh pada permukaan lembap bahan bukan organik seperti kaca dan konkrit terdedah yang dilitupi oleh biofilm tidak kelihatan.

Secara umumnya, terdapat beberapa faktor yang disenaraikan dibawah dan menjadi penyumbang kepada pertumbuhan kulat di persekitaran binaan:
  • Spora kulat yang sentiasa ada di dalam udara
  • Nutrien seperti kekotoran, debu selulosa dan kanji
  • Suhu sekitar 5oC hingga 50oC
  • Kelembapan relatif yang konsisten di atas 70%
  • Oksigen
kelembapan relatif
Gambar rajah 1: Faktor Pertumbuhan Kulat

Kelembapan udara yang tinggi merupakan salah satu kunci elemen yang menyumbang kepada pertumbuhan kulat. Oleh itu, bagi menghalang pertumbuhan kulat, sebarang faktor yang boleh menyumbang kepada kelembapan di dalam bangunan seharusnya dikenalpasti dan dihapuskan. Suhu permukaan yang rendah (di bawah daripada takat embun) bagi udara bersebelahan dengan dinding atau lantai boleh menyebabkan pemeluwapan pada permukaan tersebut dan jika dibiarkan ia akan menjadi tempat pembiakan ideal bagi pertumbuhan kulat.

Semua kulat memerlukan sumber makanan, air dan masa untuk bercambah dan membesar. Sesetengah kulat boleh bercambah sepantas 4 hingga 12 jam. Jika dibiarkan tanpa gangguan, kulat boleh membesar dan merebak di dalam tempoh 24 hingga 72 jam.

Masalah endogen kulat selalunya berlaku apabila kerosakan air berlaku pada material organik secara berpanjangan dan berulang. Spora kulat boleh dibawa ke persekitaran dalam melalui persekitaran luar. Faktor persekitaran luar yang boleh memberi kesan kepada kepekatan spora kulat termasuklah marked shade, peningkatan tahap kehadiran serpihan organik dan harta benda yang terbiar.

Banjir, pemeluwapan, kebocoran paip, kebocoran tingkap dan kebocoran bumbung adalah sumber kelembapan yang berpotensi dalam membawa kepada infestasi kulat. Peningkatan kelembapan ambien disebabkan pengudaraan yang tidak mencukupi atau pengeringan yang tidak sempurna juga menjadi penyebab kepada pertumbuhan kulat.

Potensi Kesan Kesihatan Akibat Kulat

Kulat boleh menyebabkan pelbagai kesan kesihatan kepada manusia. Impak keterukan bergantung kepada jenis dan jumlah kulat yang wujud di samping tahap kerentanan dan kepekaan seseorang individu yang terdedah kepada kulat. Manusia terdedah kepada kulat melalui pemakanan, penyedutan dan sentuhan kulit. Kulat menyebabkan kesan akut kesihatan melalui inflamasi toksin, alergi atau infeksi.

Sindrom Bangunan Sakit & penyakit berkaitan bangunan

 

Sindrom Bangunan Sakit

“Sindrom bangunan sakit” adalah nama yang biasa digunakan bagi penyakit yang berlaku dalam kalangan penduduk akibat kualiti udara dalaman yang kurang baik.

Sindrom bangunan sakit memerihalkan situasi yang penduduk bangunan mengalami kesan akut kesihatan dan/atau keselesaan yang berkaitan dengan masa yang diluangkan di dalam bangunan tertentu, tetapi tidak ada penyakit atau penyebab khusus yang dapat dikenal pasti. Aduan mungkin boleh tertumpu di dalam bilik atau zon tertentu, atau boleh merangkumi keseluruhan bangunan.

Sesetengah daripada bangunan ini mungkin tidak dialih udara secukupnya. Sebagai contoh, sistem pengalihudaraan mekanikal mungkin tidak direka bentuk atau beroperasi untuk menyediakan jumlah pengambilan udara luar yang mencukupi. Umumnya, manusia mempunyai kurang kawalan ke atas persekitaran dalaman di pejabat mereka berbanding dengan persekitaran dalaman di rumah mereka. Justeru terdapat peningkatan insiden masalah kesihatan yang dilaporkan.

Kadang-kadang, penduduk bangunan mengalami gejala yang tidak sepadan dengan corak apa-apa penyakit tertentu dan sukar untuk dikesan apa-apa punca khusus. Fenomena ini dilabel sebagai sindrom bangunan sakit. Gejala yang timbul dalam kalangan penduduk “bangunan sakit” berbeza-beza daripada kerengsaan mata dan hidung, kelesuan, batuk, rinitis, loya, sakit kepala, sakit tekak atau gabungan mana-mana gejala tersebut.


Penyakit Berkaitan Bangunan

Sebilangan penyakit yang benar-benar dikenal pasti, seperti penyakit Legionnaires, asma, pneumonitis hipersensitiviti, dan humidifier fever, telah dikaitkan secara langsung kepada masalah bangunan khusus. Ini dinamakan penyakit berkaitan bangunan. Kebanyakan penyakit ini boleh dirawat; namun begitu, sesetengahnya mendatangkan risiko serius.

Penyakit Legionnaires merupakan satu daripada penyakit berkaitan bangunan. Ia merupakan satu bentuk pneumonia berbakteria yang dicirikan oleh demam, seram sejuk dan batuk kering yang dikaitkan dengan sakit otot dan kadang-kadang diarea. Penyakit Legionnaires mendapat namanya semasa orang yang menghadiri konvensyen Legion Amerika di Philadelphia dalam bulan Julai 1976 diserang penyakit ini. Demam Pontiac pula adalah penyakit yang kurang serius yang dicirikan oleh demam dan sakit otot tanpa gejala pneumonia.

Bakteria yang menyebabkan penyakit Legionnaires, legionella pneumophila, akan membiak di dalam mana-mana takungan persekitaran yang keperluan nutrient, air dan suhunya dipenuhi, dan memasuki udara apabila tempat tersebut diganggu. Bakteria ini membiak subur pada suhu di antara 25°C dengan 45°C, dengan suhu optimum sekitar 35°C. Walaupun organisma ini terdapat melata dalam alam sekitar, kepekatan di udara hanya sesekali mencapai aras yang cukup untuk menjangkiti subjek biasa.

Menara pendinginan air dan sistem air panas di dalam bangunan telah dikenal pasti sebagai punca utama organisma ini. Tanpa rawatan ke atas air atau tanpa penyenggaraan sistem yang cukup, legionella boleh membiak dan kemudian teragih ke seluruh bangunan melalui sistem pengendalian udara.

Tags: Chemical Management, Indoor Air Quality

Cetak