Letupan Silinder Gas Ammonia

Rajah 1 Silinder yang disusun telah berselerakan akibat letupan yang berlaku

 

Safety alert ini dikeluarkan lanjutan daripada 2 kejadian letupan melibatkan silinder gas ammonia yang berlaku di sebuah kilang pengisian dan pembotolan gas ammonia di negeri Melaka pada Mac 2011 . Kilang ini telah beroperasi lebih daripada 20 tahun.. Bekalan gas ammonia yang diperolehi daripada pembekal kepada kilang ini akan disimpan terlebih dahulu dalam tangki simpanan pukal yang berkapasiti 500 dan 900 tan sebelum ianya dipindahkan atau diisikan ke dalam silinder gas ammonia. Silinder gas yang terdapat di kilang ini berkapasiti 60kg,68kg dan 500kg. Kebanyakkan silinder-silinder ini telah berusia lebih daripada 20 tahun.

Pada hari kejadian lebih kurang pukul 5.45 petang, sebuah silinder yang telah diisi gas ammonia dan disusun secara berbaring di atas tanah dengan 2 lapisan secara tiba-tiba meletup. Letupan pertama ini menyebabkan silider-silinder yang disusun bersamanya terpelanting dan ada yang berterbangan ke kawasan sekitarnya( Rajah 1). Antara kesan lain akibat daripada letupan pertama ini adalah :-

  1. Satu silinder ammonia yang berdekatan telah terbang dan melayang sehingga ke sebuah kilang lain yang bertentangan dengan tempat kejadian.
  2. Bahagian head silinder yang meletup telah melayang ke sebuah kilang pembuatan pelincir minyak dan menghentam salah satu bahagian sistem paip minyak pelincir lalu menyebabkan kerosakkan pada bahagian penebat paip tersebut.
  3. Satu silinder melayang dan jatuh menghempap bumbung surau yang berada bersebelahan dengan bangunan pejabat kilang.
  4. Satu silinder telah tercampak ke bahagian refilling station dalam kawasan kilang ini.

Lebih kurang pukul 7.15 petang, satu silinder gas ammonia yang tercampak ke refilling station tiba-tiba meletup. Letupan kedua ini menyebabkan bumbung bangunan refilling station mengalami kerosakkan yang teruk dan satu silinder yang berdekatan dengannya telah terpelanting dan jatuh menimpa bilik stor. Ini menyebabkan kerosakkan teruk pada bumbung dan siling bilik stor. Silinder gas ammonia yang meletup ini dijumpai dalam keadaan terkoyak pada bahagian kelumpang.

Tiada sebarang kecederaan atau kematian pada pekerja dalam kejadian ini. Pasukan penyelamat tiba di tempat kejadian dan telah menstabilkan kawasan letupan.

Siasatan awal mendapati letupan mungkin disebabkan oleh peningkatan tekanan ( internal pressure) gas ammonia di dalam silinder yang disimpan di luar dan kerana terdapatnya beberapa ciri-ciri kecacatan pada silinder gas ammonia tersebut.

Tindakan Penambahbaikkan

Antara langkah-langkah kawalan keselamatan atau penambahbaikkan yang boleh diambil bagi mengelakkan kejadian yang sama berulang adalah:-

  1. Mematuhi sepenuhnya keperluan-keperluan yang terdapat dalam MSDS Anhydrous Ammonia terutamanya dalam aspek pembotolan, penyimpanan,pengendalian dan pengangkutan.
  2. Menjalankan pemeriksaan dan ujian berkala ke atas silinder gas mengikut kod atau piawaian yang diiktiraf
  3. Menjalankan penyenggaraan yang komprehensif dan berjadual ke atas silinder gas ammonia.
  4. Silinder gas boleh disimpan/diletakkan di luar bangunan, tetapi bahagian bawahnya hendaklah dilindungi/dialas dari pada tanah untuk mengelakkan bahagian bawahnya mengalami pengkakisan. Ia juga perlu dielakkan/dilindungi daripada pancaran terus cahaya matahari.
  5. Silinder yang telah diisi gas dan yang kosong hendaklah disimpan secara berasingan dan juga ditandakan/dilabelkan bagi mengelakkan kekeliruan.
  6. Silinder gas hendaklah disimpan di tempat yang cukup dan baik pengudaraannya, serta jauh dari sumber nyalaan,percikan api atau haba. Jauhkan juga silinder dari sebarang litar/pendawaian elektrik.
  7. Pastikan silinder tidak terdedah kepada sebarang sumber nyalaan atau sebarang suhu yang melebihi 52°C.
  8. Jangan gunakan silinder gas untuk tujuan proses menggolek, menyokong atau sebarang tujuan lain selain daripada penghantaran dan pembekalan gas.
  9. Silinder gas ammonia hendaklah sentiasa diletakkan/disusun dalam keadaan berdiri tegak dan dipegang kukuh untuk mengelakkan iannya terjatuh,terbalik dan terhentak. Gunakan sangkar(cage)/hand truck yang sesuai bila mengangkat silinder. Jangan menggolekkan,mengheret/menarik atau menggelongsorkan silinder.
  10. Pekerja-pekerja hendaklah diberi latihan, panduan bertulis dan maklumat berkenaan cara dan kaedah menggendalikan gas silinder ammonia dengan selamat disertai dengan penyeliaan yang rapi oleh penyelia mereka.

Rujukan Tambahan:

  1. Anhydrous Ammonia MSDS.
  2. Department of Occupational Safety and Health Malaysia, Guidelines On The Control Of Chemicals Hazardous to Health
  3. U.S. Occupational Safety and Health Administration, Occupational Safety and Health Guideline for n-Hexane
  4. Canadian Centre for Occupational Health and Safety, Working Safely with Ammonia Gas
  5. Virginia Commonwealth University,Office of Environmental,Health and Safety,Compressed Gas Cylinder Safety.

Cetak