Breadcumb Caption
  • Arkib Berita
  • 2018
  • Roboh Serentak - Harian Metro Online
Breadcumb Caption
  • Arkib Berita
  • 2018
  • Roboh Serentak - Harian Metro Online

Roboh Serentak - Harian Metro Online

Harian Metro Online, 23 Februari 2018

    

 

Shah Alam : Proses meroboh struktur fizikal kedua-dua Plaza Tol Batu Tiga dan Sungai Rasau perlu dilakukan serentak. Ini kerana, kerja meroboh dilakukan secara berasingan akan melambatkan proses mengembalikan laluan berkenaan kepada asal, selain mengurangkan risiko kemalangan. Bagaimanapun, Koordinator Pembangunan Persekutuan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Anggerik, Datuk Nor Hisham Ses berkata, pihak bertanggungjawab perlu melakukan perobohan secara teratur dan mengikut prosedur yang betul.

“Proses perobohan perlu dijalankan mengikuti spesifikasi yang ditetapkan di bawah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP). “Sepanjang proses itu juga, aliran trafik perlu dikawalselia pihak terbabit agar tidak mengganggu pengguna jalan raya. “Sepatutnya proses perobohan itu tidak boleh dijalankan secara terbuka. Ia perlu ditutup dengan penghalang kerana sudah tentu pengguna jalan raya akan memperlahankan kenderaan untuk melihat apa yang dilakukan,” katanya ketika ditemui.

Nor Hisham turut mencadangkan agar selepas laluan dikembalikan kepada asal, kawasan di kiri dan kanan di tapak bekas plaza tol itu boleh dijadikan mini litar atau pusat perniagaan yang boleh dimanfaatkan penduduk setempat. “Tempat itu mungkin boleh dibina restoran makanan segera atau tempat riadah golongan muda seperti litar mini yang dikendalikan pihak berwajib, sebagai contoh Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR). “Mungkin ia sebagai ganti kepada Litar Batu Tiga yang cukup terkenal satu ketika dulu yang ditutup pada 2003.

“Golongan belia yang meminati sukan permotoran boleh menjadikannya sebagai tempat beriadah pada hujung minggu dan mengelakkan mereka melakukan aktiviti lumba motor secara haram yang boleh mengundang kecelakaan,” katanya. Sejak malam kelmarin, kerja merobohkan struktur Plaza Tol Batu Tiga dilakukan pihak bertanggugjawab dan diteruskan sehingga ia selesai menjelang akhir bulan depan.

Tinjauan Harian Metro mendapati, bumbung di empat lorong kiri menghala ke Shah Alam dan Klang juga dicabut, malah tembok batu penghadang setiap laluan tol juga dipecahkan. Kerja yang dilakukan membabitkan sebahagian besar laluan tol berkenaan dan hanya dibuka beberapa lorong sahaja untuk pengguna.                                                      

Cetak Emel