• Arkib Berita
  • 2018
  • Kuari ancam nyawa - Berita Harian Online
Slider

Kuari ancam nyawa - Berita Harian Online

Berita Harian Online, 6 Februari 2018

    

 

IPOH : Lebih separuh daripada 32 kuari yang terdapat di Perak didapati berada pada tahap keselamatan dan kesihatan rendah. Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) negeri, Ir Mohd Hatta Zakaria, berkata audit yang dilakukan pihaknya tahun lalu mendapati sebanyak 15 kuari dikelaskan pada gred D iaitu sistem keselamatan yang lemah untuk aspek keselamatan pekerja manakala dua kuari berada pada gred E iaitu tidak mempunyai sistem keselamatan. Beliau berkata, tujuh kuari pula berada pada gred C dan lapan lagi gred B manakala tiada satu pun kuari yang berada pada tahap gred A.

"Kuari yang menjadi antara penyumbang utama sektor ekonomi di negeri ini haruslah berada pada tahap keselamatan terbaik kerana pekerja di sektor itu mudah terdedah kepada kemalangan. "Sepanjang tahun lalu, sebanyak dua kes kematian dicatatkan manakala tiga kes penyakit iaitu membabitkan pendengaran dan Pneumoconiosis atau sakit paru-paru dicatatkan dalam sektor pekerjaan kuari di negeri ini," katanya. Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Perasmian Taklimat Elektrik Bagi Pengusaha-Pengusaha Kuari Perak di Wisma Tenaga Nasional Berhad (TNB) Ulu Kinta di sini, hari ini. Taklimat yang juga sebahagian program Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSH) itu dianjurkan JKKP Perak dengan kerjasama TNB dan Persatuan Kuari Perak dengan dihadiri 70 pengusaha kuari di negeri ini.

Turut hadir Ketua Jurutera (Kendalian dan Senggaraan - Zon Utara), Bahagian Pembahagian TNB, Ir Ahmad Fuad Md Kasim. Mohd Hatta berkata, isu keselamatan dan kesihatan pekerjaan harus dititikberatkan kerana pekerja terdedah kepada habuk galian, bunyi bising dan penggunaan jentera berat sekali gus menjadi faktor kepada kematian dan penyakit. "Majikan dinasihatkan untuk melaporkan kes membabitkan penyakit kepada JKKP supaya siasatan lanjut dapat dijalankan," katanya. Sementara itu, Mohd Hatta berkata, sepanjang tahun lalu, sebanyak 16 kes kematian dicatatkan, 20 kes hilang upaya kekal dan 676 kes kecederaan tetapi tidak hilang upaya kekal membabitkan pelbagai sektor pekerjaan di negeri ini.

Katanya, bagi menghindari kejadian tidak diingini berlaku, JKKP sudah menjalankan 1,831 audit dan pemeriksaan tempat kerja membabitkan pelbagai sektor sepanjang tahun lalu bagi memastikan peraturan keselamatan dipatuhi. "Tindakan tegas diambil sepanjang audit itu dijalankan dengan mengeluarkan 3,435 surat arahan serta 1,699 notis larangan dan pembaikan terhadap majikan atau pengusaha yang didapati tidak mematuhi peraturan. "Tahun lalu juga JKKP sudah mendakwa 29 kes di mahkamah dan mengeluarkan 100 kompaun namun bagi kita apa yang penting bukannya bentuk hukuman sebaliknya perubahan sikap dalam kalangan majikan," katanya.

 

Cetak Emel