doshheaderbm

  • Arkib Berita
  • 2017
  • Padah tak daftar jentera - Harian Metro Online
Slider

Padah tak daftar jentera - Harian Metro Online

Harian Metro Online, 12 Disember 2017

  

 

 

MAHKAMAH Sesyen Alor Setar hari ini menjatuhkan hukuman denda RM6,000 ke atas pemilik kedai perkakasan kerana mengendalikan mesin angkat barang di premisnya tanpa Sijil Perakuan Kelayakan (SPK) yang sah, Julai lalu.

Hakim Zulhazmi Abdullah membuat keputusan itu selepas pemilik kedai, Seah Boon Keong, 58, mengaku bersalah atas pertuduhan itu.

 Beliau juga memutuskan tertuduh dipenjara tiga bulan jika gagal membayar denda itu serta menasihatinya mendaftarkan semua jentera dimiliki.

Mengikut kertas pertuduhan, Seah dituduh mengendalikan mesin angkat barang tanpa SPK yang dikeluarkan mengikut Akta Kilang dan Jentera (AKJ)1967 di kedai LKS Sukamari Trading di No 63 & 64, jalan utama, Pendang, pada 4 Julai lalu, kira-kira 2.30 petang.

Dia didakwa melakukan kesalahan Seksyen 19 (1) AKJ 1967 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 19 (6) akta sama, memperuntukkan denda maksimum RM150,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan negeri, Hazeha Abdullah.

Mengikut fakta kes, pihak JKKP negeri yang menerima maklumat seorang pekerja mati tersepit pada lif pengangkat barang di kedai itu, pada 2.30 petang, 4 Julai lalu, bertindak melakukan siasatan di lokasi pada hari sama.

Hasil pemeriksaan pegawai JKKP negeri mendapati pemilik kedai mengendalikan mesin itu tanpa SPK untuk mengangkat tilam.

Terdahulu, Hazeha memohon hukuman setimpal dikenakan terhadap tertuduh mengambil kira kepentingan awam.

"SPK ini bertujuan memastikan pemilik ada tindakan kawalan terhadap tatacara untuk penyelenggaraan jentera atau mesin untuk mengelakkan sebarang kemalangan mengikut piawaian ditetapkan JKKP," katanya.

Sementara itu, Seah yang tidak diwakili peguam bela memohon hukuman denda paling rendah dan berjanji tidak mengulangi kesalahan pada masa depan.

Katanya, perniagaannya kurang memberangsangkan kerana keadaan ekonomi negara kurang baik dan untuk mendapatkan sijil, RM32,000 diperlukan bagi setiap mesin.

"Saya memohon maaf atas kesalahan ini dan akan mendaftarkan semua mesin di dalam premis," katanya.

Harian Metro sebelum ini melaporkan seorang pekerja lelaki maut tersepit pada lif pengangkut barang di sebuah kedai perkakas dan aksesori di Jalan Pekan Pendang Baru pada 4 Julai lalu.

Dalam kejadian kira-kira 3 petang itu, Muhammad Zairul Naim Zaini, 17, dari Kampung Paya Palas, Pendang dikatakan tersepit pada jurang antara lif barang dan siling di tingkat dua bangunan kedai itu dan meninggal dunia.

Cetak Emel