Breadcumb Caption
  • Arkib Berita
  • 2017
  • Patuhi Langkah Keselamatan Operasi Lif - Utusan Online
Breadcumb Caption
  • Arkib Berita
  • 2017
  • Patuhi Langkah Keselamatan Operasi Lif - Utusan Online

Patuhi Langkah Keselamatan Operasi Lif - Utusan Online

Utusan Online, 02 Ogos 2017

 

 

IPOH 1 Ogos - Kerajaan negeri mengarahkan sebuah pasar raya di sini yang dua kali mengalami masalah gangguan lif pada bulan ini agar mematuhi langkah keselamatan dengan meletakkan petugas untuk memantau operasi lif bagi mengelakkan kejadian sama berulang.

Pengerusi Jawatankuasa Pem­­­ba­ngunan Usahawan dan Koperasi, Hal Ehwal Pengguna, Pertubuhan Bukan Kerajaan dan Masyarakat Sivil negeri, Datuk Samsudin Abu Hassan berkata, pasar raya berkenaan juga diminta memasang kamera litar tertutup (CCTV) di dalam lif selain menyediakan kemudahan interkom.

“Setiap premis yang me­nye­diakan perkhidmatan lif sepatutnya melakukan pe­nyelenggaraan per­khidmatan pada setiap bulan dan penyelenggaraan utama setiap tiga bulan selain pemantauan pihak Jabatan Ke­selamatan dan Kesihatan Pe­kerjaan Perak (JKKP) setiap 15 bulan.

“Prosedur ini perlu dipatuhi kerana ia membabitkan aspek keselamatan pengguna. Diharap dengan tiga langkah keselamatan ini dapat mengelak kejadian sama berulang yang boleh menyebabkan risiko lebih besar berlaku,” katanya ketika membuat lawatan kerja di pasar raya berkenaan di sini semalam.

Yang turut hadir Pengarah JKKP negeri, Mohd. Hatta Zakaria dan Ketua Zon Ipoh, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri, Mohd. Khairul Jamil.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kerajaan negeri berpuas hati de­ngan pihak pengurusan pasar raya berkenaan yang menerima baik cadangan memasang CCTV dan interkom di dalam lif.

Katanya, pihak pasar raya tersebut juga bertindak proaktif apabila meletakkan seorang pekerja di empat lokasi yang mempunyai lif bagi memantau pergerakan lif bermula pasar raya dibuka sehingga tamat waktu perniagaan.

“Kes yang membabitkan se­­­pasang warga emas yang terperangkap di dalam lif sebelum ini adalah berpunca daripada ketidakpatuhan pengurusan pa­­sar raya mematuhi jadual penyelenggaraan lif.

“Bagaimanapun, kejadian ke­dua membabitkan 10 pengguna yang terperangkap di dalam lif di pasar raya sama pula berpunca daripada masalah elektrik yang memberi kesan kepada kelancaran pergerakan lif,” katanya

Dalam kejadian pada 1 Julai lalu, sepasang suami isteri warga emas terperangkap di dalam sebuah lif di sebuah pasar raya di Meru Raya lebih 26 jam dan hanya diselamatkan pada pukul 1.10 petang ke­esokan harinya.

Baru-baru ini di pasar raya sama, seramai 10 pengunjung terperangkap di dalam lif kira-kira 15 minit sebelum diselamatkan.

 

Cetak Emel