Breadcumb Caption
  • Arkib Berita
  • 2017
  • Segera lapor kepada JKKP - Sinar Harian Online
Breadcumb Caption
  • Arkib Berita
  • 2017
  • Segera lapor kepada JKKP - Sinar Harian Online

Segera lapor kepada JKKP - Sinar Harian Online

Sinar Harian Online, 8 Mei 2017

 

 news sho 080517

 

Mohtar (tengah) ketika melawat reruai disediakan sempena Sambutan Hari Sedunia bagi Keselamatan dan Kesihatan di Tempat Kerja Peringkat negeri di ILP Marang.

 

MARANG – Majikan dalam pelbagai sektor industri di Malaysia mesti melaporkan segera kes yang berlaku kepada pekerja ketika bertugas kepada Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerja (JKKP) bagi mengelak didenda akibat menyembunyikan fakta kes. Malah, data dan statistik perlu dikumpul dan dianalisis untuk menyediakan pelan strategik bagi mentadbir dan menguatkuasakan perundangan yang berkaitan dalam usaha kerajaan menangani isu-isu berkaitan keselamatan dan kesihatan di tempat kerja.

Ketua Pengarah, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Malaysia, Dato' Ir. Mohtar Musri berkata, majikan serta pengamal atau pegawai perubatan bertanggungjawab melaporkan segera kes berkaitan untuk siasatan dan tindakan selanjutnya. “Laporan mengenai kemalangan, kejadian berbahaya, keracunan pekerjaan dan penyakit pekerjaan perlu dilaporkan kepada pihak JKKP seperti yang telah termaktub dalam Seksyen 32, Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994,” katanya. Sehubungan itu, beliau menggesa agar pihak JKKP dapat mempergiat dan mempelbagaikan lagi program-program bagi tujuan meningkatkan kesedaran dan kepentingan dalam melaporkan kemalangan dan penyakit pekerjaan.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Sambutan Hari Sedunia bagi Keselamatan dan Kesihatan di Tempat Kerja Peringkat Negeri Terengganu 2017 anjuran JKKP Terengganu di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Marang di sini. Dalam pada itu, beliau berkata, kadar kemalangan negara bagi tahun 2015 adalah 2.81 per 1,000 pekerja manakala pada tahun 2014 adalah sebanyak 3.10 per 1,000 pekerja dan itu menunjukkan penurunan sebanyak 9.35 peratus.

Menurutnya, pada tahun lalu, JKKP juga telah menjalankan kira-kira 258,487 pemeriksaan ke atas tempat kerja dan jentera. “Berdasarkan jumlah tersebut, sebanyak 24,631 notis telah dikeluarkan, 1,176 kesalahan dikeluarkan kompaun dan sebanyak 406 kes didakwa atas kesalahan berkaitan keselamatan dan kesihatan di tempat kerja,” katanya. Beliau berkata, majikan dan pekerja perlu memberikan komitmen yang baik dalam meningkat tahap keselamatan dan kesihatan pekerjaan di tempat kerja. “Media juga turut digesa untuk memainkan peranan dalam mendidik masyarakat berkaitan dengan keselamatan dan kesihatan pekerja dengan menyalurkan maklumat yang lebih positif, tepat dan berkesan,” katanya.

 

 

 

Cetak Emel