Pertingkat usaha elak kemalangan di tapak pembinaan - Sinar Harian Online

Sinar Harian Online, 08 Disember 2016

 

 news sho 081216

Gambar Hiasan

 

PUTRAJAYA - Kementerian Sumber Manusia akan terus mempertingkatkan usaha untuk memastikan keselamatan dan kesihatan pekerja serta orang awam tidak terjejas oleh aktiviti kerja di tapak projek pembinaan.

Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Seri Adenan Ab Rahman berkata, sejak akhir-akhir ini banyak berlaku kemalangan melibatkan kehilangan nyawa dan kecederaan serius khususnya di tapak pembinaan.

Oleh itu, melalui Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) penguatkuasaan di tapak projek pembinaan lebih dipertingkatkan dengan tertumpu kepada kontraktor utama sebagai majikan yang mempunyai kawalan keseluruhan projek, kata beliau.

"JKKP telah melakukan sebanyak 6,417 pemeriksaan untuk tempoh tujuh bulan pertama tahun ini iaitu 12 peratus lebih tinggi berbanding tahun lepas dan untuk tempoh yang sama pendakwaan yang dijalankan adalah 21 peratus lebih tinggi," katanya ketika berucap sempena Seminar Kebangsaan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Ketua Pengarah JKKP, Datuk Ir Mohtar Musri dan Timbalan Ketua Pengarah JKKP, Ir Omar Mat Piah.

Adenan berkata, sehingga Julai tahun ini, jumlah saman yang dikenakan kepada kontraktor adalah sebanyak RM1.1 juta, meningkat 57 peratus berbanding tempoh yang sama pada 2015.

Beliau berkata, pegawai JKKP turut mengadakan pemeriksaan pada waktu malam serta mewujudkan skuad peronda bagi projek seperti projek Mass Rapid Transit (MRT) da8n Transit Aliran Ringan (LRT).

"Skop pemeriksaan turut dikembangkan iaitu melibatkan pegawai keselamatan dan kesihatan, penyelia keselamatan tapak, operator kren selain perjumpaan spontan bersama pekerja di tapak pembinaan," katanya.

Sementara itu, Omar berkata, dua kemalangan yang berlaku di tapak projek berdekatan pusat membeli belah MidValley dan Pavilion sudah mendapat kelulusan Peguam Negara untuk mendakwa pihak kontraktor berkenaan.

"Bagi kedua-dua kes itu, mereka boleh didakwa di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (OSHA) tanggungjawab Majikan di Bawah Seksyen 15 dan 17," katanya.  - Bernama

 

 

Cetak