Pekerja kontrak maut, dua parah dihempap konkrit. - Utusan Online

Utusan Online, 20 Oktober 2016

 

ALOR GAJAH 20 Okt. - Seorang pekerja kontrak warga Indonesia maut manakala dua lagi parah dihempap konkrit selepas pelantar pembinaan sebuah tangki air roboh di Universiti Teknologi Malaysia Melaka (Utem), Durian Tunggal, di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3.15 petang itu, mangsa, Abu Ardianto, 31, yang mengalami kecederaan parah meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden A. Asmadi Abdul Aziz berkata, dua lagi pekerja, Rio Sutari, 28, dan Amirudin, 37, mengalami kecederaan serius dan dikejarkan ke Hospital Melaka.

"Kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan mayat telah dihantar ke Hospital Melaka untuk bedah siasat manakala ahli keluarga mangsa telah dimaklumkan mengenai kejadian tersebut,"katanya.Dalam pada itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan

Penyelamat Ayer Keroh, Pegawai Bomba Kanan II Hairul Nizam Ridhuan berkata, seramai lapan anggota bomba bergegas ke tempat kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada pukul 3.16 petang.

"Difahamkan ketika kejadian, seramai sembilan pekerja berada di lokasi dan mangsa sedang melakukan kerja-kerja menaikkan simen untuk pembinaan sebelum pelantar tersebut tiba-tiba roboh.

“Bagaimanapun, enam pekerja tidak mengalami kecederaan dan berjaya keluar dari kawasan runtuhan,katanya.-UTUSAN ONLINE

 

Cetak