• Arkib Berita
  • 2016
  • UMP terima anugerah emas MSOSH 2015 - Utusan Online
Slider

UMP terima anugerah emas MSOSH 2015 - Utusan Online

Utusan Online, 24 Ogos 2016

 

news uo 250816

 

KUANTAN 23 Ogos - Universiti Malaysia Pahang (UMP) mendapat pengiktirafan daripada Persatuan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (MSOSH) berikutan pencapaiannya dalam memulihara keselamatan dan ke­sihatan di tempat kerja dalam Majlis Anugerah MSOSH 2015 di Su­bang Jaya, Selangor baru-baru ini.

Anugerah Gold Class II itu diberikan kepada Makmal Fakulti Kejuruteraan Kimia dan Sumber Asli (FKKSA) UMP sebagai penghargaan atas kecemerlangannya melaksanakan sistem pengurusan keselamatan dan kesihatan yang baik di tempat kerja.

Anugerah prestasi keselamatan dan kesihatan berkenaan memberi pengiktirafan kepada semua organisasi ahli atau syarikat-syarikat yang telah mencapai rekod keselamatan dan kesihatan terpuji termasuk peningkatan dalam proses keselamatan dan kesihatan pekerjaan menerusi sistem keselamatan kukuh serta pengurusan kesihatan.

Naib Canselor UMP, Prof. Datuk Dr. Daing Nasir Ibrahim menerima anugerah berkenaan dalam majlis itu yang turut dihadiri Dekan FKKSA universiti berkenaan, Zulkafli Hassan dan Pengarah Pejabat Pengurusan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, Muhammad Hairynizam Muhd. Taib.

Daing Nasir berkata, UMP merupakan satu-satunya universiti awam merangkul anugerah berprestij itu yang merupakan tanda penghargaan terhadap pencapaian staf fakulti di universiti berkenaan dalam mengamalkan budaya kerja selamat dan sihat di tempat kerja mereka.

“Menerusi pengiktirafan ini, ternyata makmal universiti ini mencapai penarafan menggunakan standard industri dan menjadi satu tanda aras baharu bagi amalan keselamatan serta kesihatan pekerjaan di universiti ini,” katanya baru-baru ini.

Sementara itu, Zulkafli berkata, pengiktirafan itu bukan sahaja memberi suntikan semangat kepada kakitangan dalam memperkasa pelaksanaan budaya kerja selamat dan sihat di fakulti tersebut, malah memberi nilai tambah kepada mahasiswa UMP.

Cetak Emel