• Arkib Berita
  • 2016
  • Dua maut kebocoran ammonia di Sipitang - Borneo Post Online
Slider

Dua maut kebocoran ammonia di Sipitang - Borneo Post Online

Borneo Post Online, 17 August 2016

 

SIPITANG: Petronas Chemicals Group Berhad (PCG) mengesahkan kebocoran ammonia berlaku di loji Petronas Chemicals Fertiliser Sabah Sdn Bhd (PCFSSB) di Sipitang, Sabah pada 9.30 pagi semalam.

Dalam kenyataan di sini semalam, Pertonas Chemicals berkata Pasukan Respons kecemasan syarikat itu segera dikerah ke tempat kejadian dan keadaan berjaya dikawal.

Katanya, lima pekerja kontrak PCFSSB terjejas dalam kejadian itu.

“Syarikat ini dengan dukacita memaklumkan bahawa dua kematian dilaporkan. Tiga petugas lain diberi rawatan perubatan sewajarnya,” kata kenyataan itu.

Menurutnya, PCFSSB telah menghulurkan semua bantuan yang diperlukan kepada mereka yang terjejas dan anggota keluarga masing-masing.

“Kejadian itu tidak memberi ancaman segera terhadap masyarakat sekeliling atau alam sekitar dan siasatan sedang dijalankan untuk mengenal pasti punca kebocoran,” kata kenyataan itu.

Sementara itu, Ketua Polis Sipitang DSP Awang Arshad Awang Bakar yang dihubungi melalui WhatsApp berkata mereka yang meninggal dunia terdiri daripada seorang rakyat tempatan dan seorang warga asing.

Dalam perkembangan sama, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman merakamkan ucapan takziah kepada keluarga dua mangsa yang terkorban dalam insiden kebocoran ammonia itu.

Beliau menyatakan kesedihan berikutan insiden itu, dan berkata, beliau kini menunggu laporan daripada syarikat petroleum negara itu berhubung punca kejadian.

“Bagi pihak kerajaan Sabah, saya ingin menyatakan ucapan takziah kami kepada keluarga mangsa,” katanya kepada pemberita selepas menamatkan lawatan kerja beliau ke Tuaran semalam. — Bernama

Cetak Emel