Kilang penapis minyak terbakar - Sinar Harian Online

Sinar Harian Online, 26 Jun 2016

news sho 260616
Keadaan kebakaran di kilang penapis minyak dan gas Petron Port Dickson, malam kelmarin

PORT DICKSON - Bomba mengambil masa kira-kira satu jam sebelum berjaya memadam kebakaran yang berlaku pada salah satu paip minyak mentah kilang penapis minyak dan gas Petron Port Dickson, lewat malam kelmarin.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sembilan, Norazam Khamis berkata, pasukannya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.38 malam dan pasukan pertama dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBDP) Port Dickson tiba 13 minit kemudian diikuti BBDP Telok Kemang dan BBDP Seremban 2.

Menurutnya, dalam tempoh 10 minit pasukan bomba pertama tiba berjaya mengawal api daripada merebak ke tangki penyimpanan minyak yang terletak hampir dengan lokasi kejadian.

"Kemudiannya, kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya sekitar jam 11.10 malam.

"Bomba turut melakukan proses penyejukan bagi menstabilkan semua suhu kawasan terlibat dengan kebakaran itu," katanya kepada media ketika ditemui di lokasi kejadian.

Norazam berkata, berdasarkan siasatan awal, pihaknya mendapati kebakaran berpunca daripada sedikit kebocoran di salah satu sistem paip exsender kilang itu.

"Kita juga berjaya membantu kilang menutup semula kawasan yang bocor itu.

"Siasatan lanjut akan dijalankan untuk mengenal pasti punca sebenar kejadian," katanya.

Norazam berkata, ketika kejadian itu sekurang-kurangnya terdapat 30 kakitangan kilang berada di lokasi dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

"Sebuah jentera dengan tiga anggota akan ditempatkan di lokasi kejadian untuk memantau keadaan dalam tempoh tertentu," katanya.

Katanya, penduduk sekitar tidak perlu khuatir dengan kejadian itu kerana kebakaran yang berlaku berjaya diatasi dengan pantas dan ia tidak melibatkan skala yang besar.

Sementara itu, seorang penduduk, Ahmad Suhaimi Jailani, 36, berkata, ketika kejadian dia berada di sebuah kedai makan berhampiran kilang penapis minyak dan gas mendengar bunyi letupan.

"Ada letupan kuat dua kali, dan lepas tu ada bunyi siren kecemasan. Tak lama kemudian jentera bomba dan polis masuk ke kilang ni," katanya

Cetak