Majikan gagal patuhi SOP cuaca panas boleh didenda - Berita Harian Online

Berita Harian Online, 29 April 2016

 

MARAN: Kementerian Sumber Manusia sudah menyediakan prosedur operasi standard (SOP) kepada majikan untuk pekerja mereka menjaga keselamatan dan kesihatan dalam keadaan cuaca panas ketika ini.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ismail Abdul Muttalib, berkata garis panduan itu boleh dimuat turun oleh majikan dari laman web kementerian.

"Kita memang ada sediakan SOP yang boleh dijadikan panduan oleh majikan. Terpulang kepada mereka untuk melaksanakannya, namun jika mereka tidak mengikuti SOP itu, kita boleh ambil tindakan mengikut Seksyen 14 dan Seksyen 15 Akta Keselamatan Pekerjaan.

"Sekiranya didapati bersalah, majikan terbabit boleh dikenakan denda RM50,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian Karnival Forum Perdana Sempena Hari Pekerja Peringkat Kebangsaan 2016 di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, dekat sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia, Datuk Seri Adenan Ab Rahman.

 

Cetak