Breadcumb Caption
  • Arkib Berita
  • 2015
  • Kepantasan bomba elak letupan besar kilang - Utusan Online
Breadcumb Caption
  • Arkib Berita
  • 2015
  • Kepantasan bomba elak letupan besar kilang - Utusan Online

Kepantasan bomba elak letupan besar kilang - Utusan Online

Utusan Online, 22 Februari 2015

 

news 22022015 uo

 Anggota bomba dan penyelamat berjaya mengawal kebakaran di kilang elektronik di Batu Berendam, Melaka, semalam.

 

MELAKA 21 Feb. – Kepantasan pihak bomba mengawal kebakaran sebuah kilang elektronik di Batu Berendam di sini berjaya mengelakkan berlakunya letupan besar akibat kebocoran bahan kimia berbahaya.

Timbalan Penguasa Bomba Bahagian Operasi negeri, Kamarulzaman Mohd. Din berkata, kebakaran kira-kira pukul 8.15 pagi ini yang melibatkan beberapa mesin di bahagian produk di kilang itu telah menyebabkan berlakunya kebocoran tiga tangki mengandungi bahan kimia berbahaya iaitu potassium silver cyanide.

Menurutnya, ketika kejadian seramai 55 orang pekerja kilang diarah keluar bagi menyelamatkan diri dan operasi kilang dihentikan sehingga diisytiharkan selamat oleh pasukan bomba.

“Tiga tangki yang bocor ialah sebuah tangki mengandungi 500 liter bahan kimia tersebut, manakala dua lagi masing-masing mengandungi 300 liter bahan kimia sama.

“Kita bernasib baik kerana sampai awal dan tidak berlaku kebocoran pada tangki yang mengandungi asid sulfurik kerana jika berlaku campuran gas akan menyebabkan letupan.

“Jarak kebakaran dengan tangki asid tersebut hanya dua meter dan mujur sistem kebakaran kilang ini aktif membolehkan kebakaran terkawal dan tidak merebak terlalu cepat sehingga diselamatkan oleh pihak bomba,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengetuai operasi menyelamat dan memadamkan kebakaran di kilang itu.

Turut hadir, Ketua Pasukan Unit Bahan Berbahaya (Hazmat) negeri, Sharul Nizam Sidek.

Kamarulzaman berkata, pihaknya menerima maklumat tentang kebakaran pada pukul 8.16 pagi dan berjaya mengawal kebakaran sepenuhnya pada pukul 8.52 pagi.

Sebanyak empat jentera iaitu dua daripada Balai Bomba dan Penyelamat Kubu, manakala dua lagi masing-masing dari Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Katil dan Ayer Keroh dikerahkan ke lokasi kejadian.

Jelas Kamarulzaman, pihaknya terpaksa melakukan proses membersihkan bahan kimia tersebut daripada air alat pemadam kebakaran serta tubuh anggotanya kerana dikhuatiri boleh menjejaskan kesihatan.

“Bahan kimia tersebut tidak mengeluarkan bau tetapi bersifat menghakis dan sekiranya tidak menggunakan peralatan yang lengkap boleh mengganggu kesihatan termasuk pengsan dan kehilangan nyawa, malah boleh menyebabkan kanser untuk jangka masa panjang,” katanya.

Kamarulzaman berkata, kebakaran yang juga melibatkan kebocoran bahan kimia berbahaya itu tidak boleh dipadamkan dengan air sebaliknya menggunakan semburan buih.

Katanya, punca sebenar kebakaran serta jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Cetak Emel