Breadcumb Caption
  • Arkib Berita
  • 2014
  • Bangunan ditutup serta-merta - myMetro Online
Breadcumb Caption
  • Arkib Berita
  • 2014
  • Bangunan ditutup serta-merta - myMetro Online

Bangunan ditutup serta-merta - myMetro Online

myMetro Online, 14 November 2014

Georgetown: Bangunan tempat bumbung konkrit runtuh dan menghempap seorang penjaga stor hingga maut di Zon Perindustrian Bebas, Bayan Baru, di sini, petang kelmarin, ditutup serta-merta sehingga siasatan selesai dijalankan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) Pulau Pinang.

Pengarah DOSH negeri Mohd Anuar Embi berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kemalangan berkenaan pada jam 8 malam, kelmarin, dan sepasukan pegawai penyiasat ditugaskan melakukan siasatan awal di tempat kejadian.

Beliau berkata, melalui siasatan awal itu, pihaknya mengeluarkan arahan kepada pengurusan kilang dengan meminta kerjasama supaya tidak mengganggu lokasi kejadian.

“Susulan daripada itu, dua pegawai penyiasat DOSH sekali lagi ke tempat kejadian tadi (semalam) untuk menyambung siasatan dan hasilnya mendapati ketika kejadian, tiada sebarang aktiviti kerja dijalankan di bangunan terbabit.

“Berikutan itu, dalam siasatan ini, kami akan lebih memberikan fokus kepada bangunan berkenaan sama ada ia mempunyai kelulusan untuk diduduki yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa atau sebaliknya,” katanya dalam satu kenyataan media, semalam.

Dalam kejadian jam 6.45 petang, kelmarin, mangsa, Wan Ahmad Nadzari Wan Mokhtar, 48, maut akibat kecederaan parah selepas dihempap bumbung konkrit yang runtuh.

Cetak Emel