Breadcumb Caption
  • Arkib Berita
  • 2014
  • JKR tubuh pasukan siasatan
Breadcumb Caption
  • Arkib Berita
  • 2014
  • JKR tubuh pasukan siasatan

JKR tubuh pasukan siasatan

Utusan Online, 17 Februari 2014

news 17022014 uo
Fadillah Yusof bertanya sesuatu kepada beberapa pekerja ketika melawat kawasan kebakaran di Hospital Umum Sarawak di Kuching, semalam. - BERNAMA

KUCHING 16 Feb. - Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak akan menubuhkan pasukan siasatan bagi menyiasat kebakaran yang mengorbankan seorang pekerja binaan di Hospital Umum Sarawak (HUS) semalam.

Menteri Kerja Raya, Datuk Fadillah Yusof berkata, pasukan di bawah kendalian Pengarah JKR negeri itu akan menyiasat secara menyeluruh termasuk punca kebakaran, jumlah kerugian dan pampasan kepada pekerja yang terkorban itu.

"Mereka juga akan melihat kesan kebakaran. Walaupun kejadian itu tidak menjejaskan bangunan sedang beroperasi, wad kecemasan masih tidak dibuka berikutan kejadian itu.

"Saya juga tidak dapat memberikan maklumat terperinci sekarang sebelum mendapat laporan siasatan daripada pihak bomba yang juga sedang menyiasat kejadian ini," katanya dalam sidang akhbar selepas melawat tempat kebakaran di HUS hari ini.

Kebakaran yang berlaku pukul 5 petang semalam mengakibatkan seorang pekerja binaan maut selepas terperangkap dalam asap tebal.

Yang turut hadir, Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Perhubungan negeri, Datuk Seri Michael Manyin Jawong, Timbalan Pengarah (Perubatan) HUS, Dr. Mohd. Asri Riffin dan Pengarah Bomba dan Penyelamat negeri, Nor Hisham Mohammad.

Tambah Fadillah, apabila berlaku kemalangan di tapak pembinaan, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) di bawah Kementerian Sumber Manusia akan menyiasat dan membuat kata putus sama ada projek itu akan diteruskan atau tidak.

"Sehingga pelepasan diberikan DOSH, baru projek pengubahsuaian bangunan sedia ada HUS yang akan menempatkan Pusat Kajian Perubatan itu akan disambung.

"JKR sebagai pengurus projek kesal dengan kejadian ini yang mengorbankan seorang pekerja yang mungkin pengsan sebelum berlaku kebakaran," jelasnya.

Katanya lagi, beliau melihat bahawa kemungkinan besar kejadian sebegitu disebabkan kecuaian di peringkat kontraktor yang tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Sementara itu Nor Hisham berkata, kebakaran itu dipercayai berpunca daripada kerja-kerja kimpalan di bahagian auditorium bangunan yang masih dalam pembinaan.

"Dipercayai percikan api yang terhasil daripada kerja kimpalan itu terkena bahan mudah terbakar sehingga mengakibatkan kebakaran," katanya.

Cetak Emel