Breadcumb Caption
  • Arkib Berita
  • 2014
  • Petronas Chemicals catat untung
Breadcumb Caption
  • Arkib Berita
  • 2014
  • Petronas Chemicals catat untung

Petronas Chemicals catat untung

Utusan Online, 10 Februari 2014

 

KUALA LUMPUR 10 Feb. - Petronas Chemicals Group Bhd. (PCG) merekodkan pendapatan sebanyak RM15.2 bilion sepanjang 2013, berkurangan lapan peratus berbanding tahun sebelumnya.

Syarikat itu turut mencatatkan penurunan keuntungan sembilan peratus kepada RM3.5 bilion berbanding RM3.83 bilion pada tahun kewangan sebelumnya.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif PCG, Datuk Dr. Abd. Hapiz Abdullah berkata, prestasi pasaran sepanjang 2013 secara amnya bercampur aduk dengan harga beberapa produk kimia tidak menentu akibat permintaan yang perlahan.

Pada masa sama katanya, prestasi kewangan itu turut disumbangkan oleh hasil pelaksanaan aktiviti penyelenggaraan berskala besar di fasiliti utama mereka di Semenanjung Malaysia dan Labuan.

"Sepanjang tahun, kami telah pun melaksanakan aktiviti terbesar sejak disenaraikan pada 2010, iaitu seiring dengan pematuhan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH).

"Dengan pembentukan integrasi yang tinggi di kompleks petrokimia, kami turut memulakan aktiviti penyelenggaraan yang komprehensif bersesuaian dengan fasiliti hiliran syarikat," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, syarikat itu akan terus menumpukan kepada peningkatan kecekapan operasi fasilitinya dalam usaha mengukuhkan perniagaan mereka di dalam industri bahan kimia.

Bagi suku keempat berakhir 31 Disember 2013, pendapatan mereka merosot kepada RM3.34 bilion daripada RM4.37 bilion pada suku keempat 2012.

Dalam kenyataan berasingan, Petronas Gas Bhd. (PetGas) mencatatkan pendapatan berjumlah RM3.89 bilion bagi tahun 2013 dengan kentungan sebelum cukai sebanyak RM1.89 bilion. Kedua-dua prestasi itu mencatatkan peningkatan berbanding tahun kewangan sebelumnya.

Menurut PetGas, kenaikan keuntungan terutamanya disebabkan oleh sumbangan daripada segmen pengegasan semula pada suku kedua dan keuntungan daripada penjualan sebahagian pemegangan saham dalam Gas Malaysia Bhd. pada tahun sebelumnya.

Menurut syarikat itu lagi, pendapatan kumpulan dijangka kekal kukuh memandangkan struktur perjanjian pemprosesan gas dan penghantaran baharu dijangka tidak berbeza dengan ketara daripada struktur sedia ada.

Perjanjian baharu akan menggantikan Perjanjian Penghantaran dan Pemprosesan Gas (GPTA), sedia ada berkuat kuasa 1 April ini.

 

Cetak Emel