Breadcumb Caption
  • Arkib Berita
  • 2014
  • 35 syarikat abai aspek keselamatan dikenakan tindakan
Breadcumb Caption
  • Arkib Berita
  • 2014
  • 35 syarikat abai aspek keselamatan dikenakan tindakan

35 syarikat abai aspek keselamatan dikenakan tindakan

Utusan Online, 28 Januari 2014

KOTA BHARU 27 Jan.- Jabatan Keselamatan Dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Kelantan mengenakan kompaun sebanyak RM58,000 kepada kepada 35 syarikat dari pelbagai sektor kerana mengabaikan aspek keselamatan dalam pekerjaan.

Antara sektor yang terlibat ialah pembinaan, perkilangan, pertanian, perladangan, borong dan runcit serta kedai peralatan elektrik.

Pengarah JKKP negeri, Mohammad Nizam Ali berkata, pihaknya telah merekodkan lima kes kematian pekerja di tapak pembinaan sepanjang tahun lalu.

"Selain lima kes kematian dan kompaun, pihaknya juga membawa 19 daripada 35 kes itu ke mahkamah kerana melakukan pelbagai kesalahan yang membabitkan saman berjumlah RM63,000.

"Antara kesalahan yang dilakukan syarikat terbabit ialah kegagalan menyediakan kawalan keselamatan di lokasi pekerjaan selain gagal menyerahkan notis kepada pihak berkuasa untuk memulakan pembinaan," katanya dalam sidang akhbar di Wisma Perkeso di sini semalam.

Mohammad Nizam berkata, syarikat pembinaan merupakan penyumbang terbesar dalam statistik tersebut dengan 11 kompaun bernilai RM27,500 telah dikeluarkan sepanjang tahun lalu.

Katanya, sepanjang tahun lalu, empat kes telah dibawa ke mahkamah membabitkan sektor tersebut dengan jumlah saman sebanyak RM8,000 atas pelbagai kesalahan.

"Pemilik syarikat pembinaan mesti memberi notis kepada JKKP dalam tempoh tujuh hari selepas memulakan kerja. Jika gagal berbuat demikian JKKP akan keluarkan notis yang perlu dibalas dalam tempoh empat hari.

"Jika masih berdegil, kita terpaksa keluarkan kompaun atau saman sehingga RM50,000 atau boleh dipenjarakan tidak lebih dua tahun," katanya.

Beliau berkata, pemilik syarikat perlu mempunyai kesedaran berhubung aspek keselamatan di tempat kerja bagi mencegah berlakunya kemalangan termasuk memberi latihan keselamatan kepada pekerja dan pemantauan secara berterusan.

"Tidak kira syarikat pembinaan, pertanian, perlombongan, kilang atau borong dan runcit, aspek keselamatan ini perlu diutamakan. Kami pihak JKKP akan bertindak sekiranya dapat mengesan syarikat yang melakukan kesalahan terutama apabila membabitkan kes kematian pekerja.

"Pihak kami tidak akan berkompromi dengan mana-mana pemilik syarikat yang melakukan kesalahan yang membabitkan nyawa," katanya.

Cetak Emel