Breadcumb Caption
  • Arkib Berita
  • 2014
  • Rugi RM5j kilang meletup
Breadcumb Caption
  • Arkib Berita
  • 2014
  • Rugi RM5j kilang meletup

Rugi RM5j kilang meletup

myMetro Online, 8 Januari 2014

Banting: Selepas sebuah kilang di bandar ini meletup malam kelmarin, sebuah lagi kilang yang terletak bertentangan dengan kilang berkenaan terbakar kira-kira tujuh jam selepas itu menyebabkan pemilik perusahaan terbabit mengalami kerugian yang dianggarkan mencecah RM5 juta.

Kebakaran terbaru itu mengundang kebimbangan dalam kalangan pekerja kerana mereka masih terkejut dengan kejadian empat letupan kuat dari kilang berhampiran yang terletak kira-kira 500 meter dari kejadian terbaru itu.


Bagaimanapun, kejadian jam 6 petang itu tidak membawa bencana lebih buruk kerana api dikawal dengan tindakan pantas pihak Bomba dan Penyelamat Banting yang tiba sembilan minit selepas menerima panggilan pada jam 6.09 petang.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Banting, Penolong Penguasa Bomba Mohd Jaslizad Jalil berkata, selepas menerima panggilan kecemasan, satu jentera bomba dikejarkan bersama lapan anggota ke tempat kejadian.


“Satu lagi jentera bomba dari Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) berkekuatan tujuh anggota datang membantu bagi mengawal kebakaran membabitkan mesin pembakaran elektron karbon yang musnah hampir 20 peratus.


“Kami masih menjalankan siasatan bagi mengetahui punca sebenar mesin terbabit terbakar dan tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan,” katanya.

news 08012014

ANGGOTA bomba berusaha memadamkan kebakaran di kilang terbabit.

Sementara itu beliau berkata pihaknya tidak menerima sebarang laporan daripada pihak kilang berhampiran kilang yang terbakar itu yang mengalami letupan akibat masalah teknikal.


“Kami tidak terbabit dalam operasi menyelamat di kilang berkenaan, kemungkinan Pasukan Keselamatan Kebakaran kilang yang melakukan operasi terbabit,” katanya.

Sementara itu, Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) mengesahkan kilang yang meletup dan terbakar berhampiran Pekan Banting mempunyai lesen yang sah dikeluarkan pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan selain dimiliki pelabur asing.

 

Cetak Emel