Breadcumb Caption
  • Arkib Berita
  • 2014
  • 5 cedera kereta langgar lori tangki kimia terbalik
Breadcumb Caption
  • Arkib Berita
  • 2014
  • 5 cedera kereta langgar lori tangki kimia terbalik

5 cedera kereta langgar lori tangki kimia terbalik

 Utusan Online, 10 Januari 2014

news 10012014 uo
Keadaan sebuah lori tangki yang membawa muatan cecair kimia industri Formaldehyde terbalik di KM 269.8 Lebuhraya Utara Selatan (arah selatan) berhampiran Plaza Tol Jelapang, Ipoh, Perak, semalam. - BERNAMA

IPOH 9 Jan. - Sebuah lori tangki yang membawa cecair kimia terbalik dan mengalami kebocoran dalam kemalangan melibatkan dua buah kereta di Kilometer 269.8 Lorong Ekspres Simpang Pulai, Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah selatan di sini hari ini.

Kemalangan pada pukul 7.10 pagi yang berlaku kira-kira tiga kilometer dari Plaza Tol Jelapang itu menyebabkan kesesakan lalu lintas yang teruk bermula dari plaza tol ekoran penutupan jalan bagi kerja-kerja pembersihan oleh Pasukan Unit Bahan Berbahaya (Hazmat) Perak.

Kejadian itu turut mengakibatkan pemandu lori, Yeoh Chon Eng, 48, dari Taman Permatang Indah, Bukit Mertajam, Pulau Pinang serta lima lagi mangsa yang menaiki dua buah kereta cedera ringan.

Empat mangsa yang menaiki kereta Proton Saga BLM ialah Ooi Ah Lak, 67, dan Ooi Boey Hong, 57, dari George Town, Pulau Pinang serta Looi Hooi Choan, 67, dan Lim Phek Hua, 59, dari Bukit Mertajam.

Seorang lagi mangsa yang memandu kereta jenis Toyota Corolla dari Baling, Kedah pula ialah Ahmad Saiful Ikram Abdul Rahman.

Sementara itu Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Daerah, Deputi Supritendan Wan Sharuddin Wan Omar berkata, kejadian berlaku apabila Toyota Corolla yang dalam perjalanan ke Mersing, Johor tiba-tiba hilang kawalan lalu terbabas sebelum bergesel dengan pembahagi jalan.

Beliau berkata, Toyota Corolla itu kemudian berlanggar pula dengan lori tangki dan Proton Saga BLM yang masing-masing dalam perjalanan dari Seberang Perai dan Bukit Mertajam menuju Gebeng, Kuantan dan Kuala Lumpur.

"Kesemua mangsa dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk rawatan akibat mengalami kecederaan.

"Kemalangan ini juga menyebabkan kandungan bahan kimia formaldehid daripada lori tangki yang bocor itu meruap di tempat kejadian," katanya di sini hari ini.

Tambah Wan Sharuddin, kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Ipoh, P. Samasuvam berkata, sebanyak 56 anggota bomba dikejarkan ke tempat kejadian melibatkan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat Meru Raya, Ipoh dan Pasir Puteh.

Menurutnya, operasi hampir tujuh jam itu turut dibantu oleh polis serta lebih 40 petugas pelbagai agensi seperti PLUS, Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH).

"Tiada proses pemindahan bahan kimia kerana lori tangki berkenaan dipercayai tidak diisi dengan kapasiti penuh," katanya.

Dalam pada itu, tinjauan Utusan Malaysia mendapati laluan di tempat kemalangan telah dibuka semula setelah lori tangki terlibat yang melintang jalan berjaya dialihkan pada pukul 3 petang ini.

 

Cetak Emel