• Arkib Berita
  • 2013
  • YS dan Niosh wujud pasport keselamatan
Slider

YS dan Niosh wujud pasport keselamatan

Borneo Post Online, 18 October 2013

 

KOTA KINABALU: Yayasan Sabah dan Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kebangsaaan (Niosh) menandatangani perjanjian kerjasama bagi menjalankan program latihan Pasport Keselamatan Yayasan Sabah (YSSP).

Pengarah Yayasan Sabah, Datuk Sapawi Ahmad, berkata program berkenaan adalah satu usaha daripada Kumpulan Yayasan Sabah ke arah membudayakan tempat kerja selamat dan sihat.

Menurutnya, pasport keselamatan itu akan meliputi tiga aktiviti iaitu aktiviti pertanian, perladangan dan perhutanan; aktiviti pembinaan dan pembuatan; manakala yang ketiga ialah aktiviti pelancongan.

Sapawi berkata dengan pelaksanaan pasport berkenaan, aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan di Kumpulan Yayasan Sabah akan dapat diurus dengan lebih cekap dan efisien.

“Ini kerana setiap kontraktor dan individu yang berurusan dengan organisasi akan diwajibkan mengikuti kursus keselamatan dan kesihatan pekerjaan bagi mendapatkan kad pasport.

“Pasport keselamatan ini juga akan dijadikan sebagai salah satu prasyarat untuk mereka yang ingin membida projek berkaitan Kumpulan Yayasan Sabah. Kontraktor berkenaan perlu mengikuti dan lulus kursus yang dilaksana sebelum mereka berurusan dengan Kumpulan Yayasan Sabah,” katanya ketika berucap pada majlis Menandatangani Perjanjian Kerjasama Pasport Keselamatan Niosh-Yayasan Sabah (YSSP) di Wisma Innoprise di sini, kelmarin.

Sapawi berkata pelaksanaan pasport berkenaan juga adalah berlandaskan Rancangan Osh Kumpulan Yayasan Sabah 2009-2015 iaitu untuk meningkatkan rangkaian kerjasama strategik dengan pihak luar.

“Sehubungan itu, pihak kita telah mendapatkan nasihat dan kepakaran daripada pihak Niosh untuk membantu dalam membangunkan modul dan pengendalian peperiksaan yang diperlukan.

“Ini termasuklah pengeluaran kad pasport dan pengiktirafan latihan keselamatan dan kesihatan pekerjaan yang diberikan kepada kontraktor serta mereka yang terlibat dengan tugasan berkaitan dengan organisasi,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Niosh, Tan Sri Lee Lam Thye berkata Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSHA) 1994 telah menggariskan tanggungjawab majikan untuk memastikan keselamatan dan kesihatan setiap pekerja termasuk para kontraktor dengan memberikan maklumat dan latihan kepada mereka.

Menurutnya, terdapat empat modul di dalam kursus YSSP yang wajib dikuasai iaitu Pencegahan insiden, Keperluan perundangan, Hazard di tempat kerja dan Kawalan risiko.

“Terdapat juga beberapa sektor di dalam modul Hazard di tempat kerja, iaitu Sektor perladangan, perhutanan dan pembalakan; Sektor pembinaan dan perkilangan; dan Sektor pelancongan,” katanya, sambil menambah kursus itu dijalankan selama tujuh jam dan di akhir sesi akan ada penilaian objektif pilihan jawapan.

Katanya terdapat pelbagai faedah yang bakal diterima oleh para peserta yang mengikuti kursus berkenaan, di mana salah satunya adalah mampu mengetahui undang-undang KKP dan peraturan KKP Kumpulan Yayasan Sabah.

“Selain itu, mampu mengenal pasti dan mengawal hazard pekerjaan di tempat kerja dan mampu membudayakan cara kerja selamat di tempat kerja,” katanya.

Lee berkata bagi peserta yang lulus akan diberikan kad YSSP dan tempoh sah lakunya adalah selama tiga tahun.

“Pembaharuan boleh dibuat selepas tempoh tiga tahun yang mana peserta perlu mengambil kursus pembaharuan YSSP dengan modul terkini dibangunkan oleh Yayasan Sabah dengan Niosh,” katanya dan menambah, penguatkuasaan penggunaan YSSP akan ditentukan oleh Kumpulan Yayasan Sabah.

Menurut Lee, terdapat juga perlindungan insuran selama tiga tahun, Pelan Takaful Malaysia, 24 jam di seluruh negara dengan manfaat sehingga RM10,000 yang mana premium insuran dibayar oleh Niosh untuk para peserta.

 

 

Cetak Emel