Breadcumb Caption
  • Arkib Berita
  • 2013
  • Tiga pekerja mati setiap hari
Breadcumb Caption
  • Arkib Berita
  • 2013
  • Tiga pekerja mati setiap hari

Tiga pekerja mati setiap hari

 Utusan Online, 25 September 2013

KUALA LUMPUR 24 Sept. - Kes kemalangan melibatkan pekerja masih berada pada tahap membimbangkan dengan purata tiga kematian dilaporkan berlaku setiap hari.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Ismail Abdul Mutalib berkata, daripada jumlah tersebut, sebanyak dua kematian membabitkan kes kemalangan dalam perjalanan dari atau ke tempat kerja manakala satu lagi kes di tempat kerja.

"Walaupun jumlah tersebut adalah kecil, namun ia memberi impak besar kepada produktiviti syarikat selain kehilangan pekerja mahir dan berpengalaman. "Kebanyakan kes kemalangan berlaku semasa perjalanan pergi dan balik kerja berpunca daripada sikap sambil lewa pekerja yang tidak terikat dengan peraturan di jalan raya, justeru, kesedaran mengenai perkara ini perlu ditekankan secara menyeluruh menerusi kerjasama majikan, pelbagai agensi dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO)," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis Penutup Seminar Pencegahan Kemalangan 2013 anjuran Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) di sini hari ini.

Yang hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia, Datuk Seri Zainal Rahim Seman; Pengerusi Lembaga Pengarah Perkeso, Datuk Abu Huraira Abu Yazid dan Ketua Eksekutif Perkeso, Datuk K. Selvarajah.

Jelas beliau, sebanyak 16,440 kes kemalangan jalan raya pergi dan balik dari tempat kerja dicatatkan sehingga Julai ini, menurun berbanding 26,256 kes dilaporkan sepanjang tahun lalu.

Katanya, beberapa faktor dikenal pasti sebagai punca utama kepada kejadian tersebut antaranya memandu dalam keadaan bahaya dan tidak mematuhi had laju yang ditetapkan.

"Pihak kami mendapati antara penyumbang utama kepada peningkatan kes kemalangan setiap hari adalah penunggang motosikal tidak menumpukan perhatian kepada pemanduan mereka," katanya.

Dalam pada itu, Ismail turut memberitahu, Perkeso telah membayar pampasan kemalangan kepada pekerja sebanyak RM1.2 bilion setakat Julai ini berbanding RM2 bilion tahun lalu.

"Ini bukan suatu perkara yang boleh dibanggakan, malah menunjukkan tahap kesedaran yang rendah dan kerugian kepada semua pihak. Oleh itu, kami berharap kadar kemalangan pekerja dapat dikurangkan dengan mengambil iktibar supaya kemalangan dapat dielakkan pada masa hadapan," ujarnya.

Menurut beliau, kerajaan menyokong penuh penganjuran program keselamatan dan kesihatan pekerja di semua peringkat selaras dengan Pelan Induk Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kebangsaan 2015 (OSHMP 15).

"Antara matlamat OSHMP 15 adalah memerlukan kerjasama jitu daripada semua pihak berdasarkan konsep tiga pihak iaitu kerajaan, majikan dan pekerja untuk menggembleng tenaga bagi mengurangkan kadar kemalangan," katanya.

Cetak Emel