Operasi dua tapak pembinaan dihentikan

Utusan Online, 8 Sept 2013

 

MELAKA 7 Sept. - Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) mengarahkan dua tapak pembinaan di negeri ini memberhentikan operasi setelah didapati melanggar peraturan dalam pemeriksaan yang dijalankan pihaknya.

Pengarah CIDB Melaka/Negeri Sembilan, Norlida Nabil berkata, pemeriksaan sempena Operasi Penguatkuasaan Bersepadu Antara Pelbagai Agensi (Ops Bina) itu mendapati tapak-tapak binaan berkenaan menjalankan kerja pembinaan tanpa Perakuan Pendaftaran Kontraktor (PPK) yang sah.

"Notis pemberhentian kerja (stop of work) telah dikeluarkan kepada kedua-dua projek pembinaan berkenaan di bawah Akta Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (Akta 520)," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas operasi tersebut di Pejabat CIDB Melaka/Negeri Sembilan, Ayer Keroh di sini kelmarin.

Yang hadir sama Pengurus CIDB Melaka/Negeri Sembilan, Nur Faeeza Hamdan Fadel dan Penolong Pengurus Unit Penguatkuasaan CIDB Melaka/Negeri Sembilan, Sulaiman Md. Isa.

Operasi yang bermula pada pukul 9 pagi itu melibatkan 165 pegawai penguat kuasa dari 16 agensi termasuk Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerja (JKKP) negeri, Jabatan Imigresen, Jabatan Pendaftaran, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan Jabatan Kesihatan.

Operasi bersepadu itu dijalankan bagi memantau tahap pematuhan undang-undang dan peraturan berkaitan tapak pembinaan melalui pemeriksaan pelbagai agensi.

Menurut Norlida, tiga tapak pembinaan di sekitar daerah Melaka Tengah diperiksa dalam operasi itu termasuk projek pembinaan perniagaan hotel di Bukit Katil, projek pembinaan kompleks tiga tingkat dan projek pembinaan pejabat berkembar di Taman Perindustrian Krubong di sini.

"Dalam operasi sama, 157 pekerja tapak pembinaan dikenal pasti tidak memiliki Kad Pendaftaran Personel Binaan (Kad Hijau) yang sah manakala 182 pekerja lagi didapati tidak diakreditasi sebagai pekerja mahir binaan," ujarnya.

Sementara itu, Jabatan Imigresen negeri memeriksa 215 pekerja di ketiga-tiga tapak pembinaan berkenaan.

"Seorang lelaki warga India berumur 24 tahun dan seorang wanita warga Indonesia berumur 55 tahun ditahan di bawah Seksyen 6 (1) (C) Akta Imigresen 1959/1963 dalam pemeriksaan itu kerana gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri," jelasnya.

 

Cetak