Breadcumb Caption
  • Arkib Berita
  • 2013
  • DOSH diminta kemuka hasil siasatan
Breadcumb Caption
  • Arkib Berita
  • 2013
  • DOSH diminta kemuka hasil siasatan

DOSH diminta kemuka hasil siasatan

Utusan Online, 3 April 2013

BUKIT MERTAJAM 2 April - Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Pulau Pinang menggesa Jabatan Kesihatan dan Keselamatan Pekerjaan (DOSH) mengemukakan hasil siasatan kebakaran di sebuah kilang kimia di Kawasan Perindustrian Perai di sini pada 25 Mac lalu yang mengakibatkan dua pekerja terkorban.

Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan MTUC Pulau Pinang, N. Balakrishnan berkata, kesatuan itu berharap DOSH segera mengemukakan punca kejadian kebakaran itu kepada umum.

"DOSH perlu kemukakan maklumat mengenai insiden itu supaya MTUC dan masyarakat mengetahui keadaan sebenar.

"Maklumat itu perlu disampaikan kepada MTUC secepat mungkin kerana kita mahu pastikan sama ada majikan kilang tersebut mematuhi syarat dan peraturan keselamatan tempat kerja yang telah ditetapkan atau tidak," katanya dalam sidang akhbar di pejabat MTUC di Taman Inderawasih di sini, hari ini.

Katanya, hasil siasatan awal pihaknya juga mendapati kilang tersebut tidak mempunyai sebarang sistem keselamatan yang perlu dipatuhi setiap majikan seperti yang tertakluk di bawah Seksyen 15 (2) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerja 1994 (OSHA).

Jelasnya, majikan juga didakwa tidak memberikan sebarang panduan dan latihan kecemasan kepada pekerjanya sebagai persediaan sekiranya berhadapan dengan detik cemas.

Katanya, mengikut Seksyen 19 OSHA, jika sabit kesalahan majikan boleh didenda tidak lebih RM50,000.

"Bagaimanapun, kita mahu kerajaan mengkaji semula akta ini dengan menjadikan denda RM50,000 sebagai denda minimum supaya setimpal dan dapat dijadikan pengajaran kepada majikan lain untuk mematuhi peraturan keselamatan di tempat kerja," ujarnya.

Utusan Malaysia pada 26 Mac lalu melaporkan seorang juruteknik terkorban manakala empat lagi cedera parah dalam satu kebakaran sebuah kilang kimia di Lorong Perusahaan 1, Kawasan Perindustrian Perai.

Kejadian pada pukul 11.45 pagi itu, mengorbankan Roslan Othman, 40, yang meninggal dunia di tempat kejadian akibat sesak nafas dan 60 peratus tubuhnya terbakar.

Empat lagi mangsa yang parah ialah Baharin Arsad, 49, K. Ramish, 41, Jamaluddin Ismail, 39, dan seorang pekerja kontrak warga Bangladesh yang hanya dikenali sebagai Mostak.

Bagaimanapun, Jamaluddin yang berasal dari Sungai Bakap, Nibong Tebal dilaporkan meninggal dunia pada 26 Mac lalu di Hospital Seberang Jaya.

Cetak Emel