Breadcumb Caption
  • Arkib Berita
  • 2013
  • Projek tapak bina tiada SSS berdaftar
Breadcumb Caption
  • Arkib Berita
  • 2013
  • Projek tapak bina tiada SSS berdaftar

Projek tapak bina tiada SSS berdaftar

Utusan Online, 21 March 2013

 

KOTA SAMARAHAN 18 Mac - Lebih separuh daripada projek tapak kerja bina di negeri ini tidak mempunyai penyelia keselamatan tapak (SSS) yang berdaftar dengan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) tahun lalu.

Pengarah JKKP negeri, Ir. Mohd. Hatta Zakaria berkata, berdasarkan 180 hasil audit yang dibuat mendapati, hanya 24 projek daripada 166 tapak kerja bina di negeri ini yang mempunyai pegawai penyelengaraan tersebut.

Dalam tempoh tersebut katanya, sebanyak 25 kes kemalangan dilaporkan berlaku di tapak kerja bina iaitu melibatkan 10 kes maut, 12 kes tidak hilang upaya kekal dan tiga kes hilang upaya kekal.

"Selain itu, empat pendakwaan telah dilakukan iaitu 12 kompaun masing-masing sebanyak RM1,000, 30 notis larangan dan 53 notis pembaikan telah dikeluarkan di bawah Akta 514 dan 518 surat arahan telah diserahkan kepada kontraktor.

"Bilangan kes kemalangan dan pendakwaan ini memberi gambaran tidak baik kepada kedudukan Sarawak sebagai negeri paling tinggi mempunyai nilai pelaburan dalam negara," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melancarkan Operasi Tapak Bina 2013 dan melawat tapak projek kolej kediaman pelajar Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) di sini hari ini.

Operasi tersebut bertujuan mengukur tahap pematuhan perundangan keselamatan dan kesihatan pekerjaan dalam kalangan kontraktor projek pembinaan.

Tahun ini, operasi tersebut akan menumpukan kepada 59 tapak projek yang dibina di negeri ini iaitu 32 tapak di Kuching dan masing-masing sembilan di Sibu, Bintulu serta Miri.

Mengulas lanjut, Mohd. Hatta memberitahu, tahap kesedaran berhubung keselamatan dan kesihatan pekerjaan di tempat kerja dalam sektor pembinaan di negara ini masih rendah berbanding sektor minyak dan gas.

Katanya, jika dibandingkan dengan sektor minyak dan gas, setiap pekerja dikehendaki memakai pakaian yang lengkap beserta topi keselamatan khas terlebih dahulu sebelum melakukan tugas.

"Namun, amalan tersebut berbeza dalam sektor pembinaan apabila jelas dapat dilihat pekerja-pekerja di tapak binaan masih tidak mengamalkan langkah kawalan yang ditetapkan.

"Pihak kami berharap peneraju utama dalam bidang pembinaan dapat memberi perhatian sewajarnya berhubung isu keselamatan dan kesihatan pekerja agar kelangsungan setiap projek dapat dijalankan dengan sempurna," katanya.

 

Cetak Emel