Breadcumb Caption
  • Arkib Berita
  • 2013
  • Dua kontraktor ke mahkamah
Breadcumb Caption
  • Arkib Berita
  • 2013
  • Dua kontraktor ke mahkamah

Dua kontraktor ke mahkamah

 Utusan Online, 13 March 2013
Dua kontraktor ke mahkamah
ANGGOTA penguat kuasa Jabatan Imigresen melakukan pemeriksaan pasport terhadap pekerja asing pada operasi bersepadu di tapak pembinaan rumah pangsa di Mergong, Alor Setar, semalam.

ALOR SETAR 12 Mac- Dua syarikat kontraktor akan dihadapkan ke mahkamah kerana didakwa melakukan kesalahan menjalankan kerja pembinaan tanpa pendaftaran dan tidak membayar levi pada tempoh yang ditetapkan di Kedah dan Perlis.

Pengurus (Jurutera Awam) Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) Kedah/Perlis, Mashitah Mohd. Mokhtar berkata, dua kes tersebut akan didakwa mengikut Akta Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia 1994 (Akta 520).

"Bagi kedua-dua kesalahan itu iaitu tidak mendaftarkan kerja pembinaan dan tidak membayar levi boleh dikenakan denda tidak melebihi RM50,000 jika disabitkan kesalahan.

"Dua kes ini bukanlah yang pertama dibawa ke mahkamah kerana pada tahun lalu, kita telah membawa empat kes ke mahkamah iaitu tiga kes di Kedah dan satu di Perlis," katanya kepada pemberita dalam operasi bersepadu yang dijalankan di tapak pembinaan rumah pangsa kawasan Mergong, di sini hari ini.

Operasi itu disertai lapan anggota CIDB, empat anggota Jabatan Imigresen, lima anggota Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS), empat anggota Akademi Binaan Malaysia (ABM) dan dua pegawai Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) serta dua anggota Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia Kedah.

Mashitah berkata, setiap kontraktor utama mestilah mematuhi syarat ditetapkan untuk tujuan kerja pembinaan bagi mengelak dikenakan tindakan undang-undang atau lesen mereka boleh ditarik balik.

Dalam pada itu, beliau berkata, operasi tersebut adalah yang pertama diadakan tahun ini bertujuan mendidik penggiat industri pembinaan terhadap kepentingan mematuhi akta berkaitan industri pembinaan.

Mashitah berkata, operasi bersepadu yang diadakan bersama jabatan dan agensi kerajaan yang lain itu juga bertujuan menjalin kerjasama strategik supaya dapat menyumbang kepada kebaikan dalam industri pembinaan.

"Dalam operasi yang dijalankan hari ini, kita dapati 15 pekerja telah melakukan kesalahan iaitu kad pendaftaran personal atau Kad Hijau telah tamat tempoh.

"Kita hanya ambil nama pekerja terbabit dan berikan notis agar mereka memperbaharui Kad Hijau tersebut," katanya.

Cetak Emel