• Arkib Berita
  • 2013
  • Bumbung runtuh, lima cedera
Slider

Bumbung runtuh, lima cedera

Utusan Online, 21 Februari 2013

Bumbung runtuh, lima cedera
Keadaan struktur bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Kuala Terengganu, Terengganu yang runtuh dan menyebabkan lima pekerja cedera ketika kerja-kerja membaik pulih struktur berkenaan semalam. - UTUSAN/AZLAN BAHRUM

KUALA TERENGGANU 20 Feb. - Sebahagian struktur bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin yang tidak terjejas semasa kejadian runtuhan bangunan itu tiga tahun lalu, runtuh hari ini ketika kerja-kerja untuk menukar kerangka bumbung lama dan dianggap tidak selamat sedang dijalankan.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11.30 pagi itu, tiga daripada pekerja parah manakala dua lagi cedera ringan selepas kerangka keluli sepanjang 137 meter dengan ketinggian 25 meter berkenaan runtuh.

Mangsa yang parah ialah Ahmad Safwan Abdul Manaf, 21, yang patah kaki kanan; Md. Nazirul Nizam Marzuki, 25, cedera di lutut kanan manakala Muhamad Saidi Ismail, 21, cedera di bahagian pinggang.

Dua lagi mangsa yang cedera ringan ialah Mohd. Syukri Jusuh, 31, dan W. Mohd. Fajrul Azmee, 26. Kesemua mereka dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Ketika kejadian, dipercayai seramai lapan pekerja sedang menjalankan kerja-kerja penukaran kerangka lama untuk digantikan yang baharu sebelum struktur tengahnya tiba-tiba runtuh diikuti seluruh kerangka berkenaan.

Menurut seorang saksi yang juga pekerja kontrak berkenaan, Alfius Mojuntung, 26, ketika kejadian dia yang sedang menjalankan kerja-kerja baik pulih berhampiran kawasan berkenaan terdengar satu dentuman yang kuat dan disusuli dengan runtuhan kerangka tersebut.

"Sebelum kejadian itu, saya lihat ada dua pekerja berada di tengah-tengah kerangka berkenaan sedang menjalankan kerja-kerja memotong kerangka lama itu sebelum tiba-tiba runtuh.

"Ketika kejadian, saya tidak pasti berapa ramai yang ada di bawah kerangka tersebut," jelasnya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini hari ini.

Seorang saksi yang hanya mahu dikenali sebagai Yasin yang berada kira-kira 250 meter dari tempat kejadian berkata, dia melihat sebuah kren mengangkut kerangka terhuyung-hayang selepas terdengar satu dentuman kuat.

"Ketika itu, saya lihat ada dua pekerja yang berada dekat kren berkenaan dan kren yang membawa kerangka terhuyung-hayang seperti ditiup angin dan kemudian seluruh struktur itu runtuh," katanya.

Timbalan Ketua Polis Terengganu, Datuk Hamzah Mohd. Jamil ketika ditemui semasa melawat lokasi runtuhan tersebut memaklumkan kejadian itu dipercayai berpunca daripada sokongan kerangka berkenaan yang tidak kukuh.

"Ketika ini, kami dan pihak-pihak berkaitan seperti Jabatan Kerja Raya dan bomba masih menjalankan siasatan sebenar kejadian sama ada berlaku kelalaian atau kesalahan teknikal pekerja.

"Kerja-kerja baik pulih ini telah berjalan lebih 60 peratus dan kerangka yang runtuh itu merupakan struktur yang memang hendak dirobohkan dan diganti dengan kerangka baharu," jelasnya yang menolak unsur jenayah dalam kejadian itu.

Tambah beliau, ketika ini, kerja-kerja baik pulih telah dihentikan sehingga siasatan selesai.

Cetak Emel