Breadcumb Caption
  • Arkib Berita
  • 2013
  • Runtuh akibat kecuaian pihak kontraktor
Breadcumb Caption
  • Arkib Berita
  • 2013
  • Runtuh akibat kecuaian pihak kontraktor

Runtuh akibat kecuaian pihak kontraktor

Utusan Online, 21 Februari 2013

KUALA TERENGGANU 20 Feb. - Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said meminta orang ramai tidak membuat spekulasi kononnya bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak dekat sini, runtuh buat kali kedua.

Menurut Ahmad, apa yang berlaku ialah struktur besi di stadium itu terjatuh dan menghempap pekerja ketika kerja-kerja merombak bumbung asal bagi mengukuhkannya dijalankan.

"Kita harap orang ramai tidak mudah membuat spekulasi dan salah faham dengan kejadian itu.

"Apa yang berlaku sebenarnya adalah berpunca daripada kecuaian pihak kontraktor terlibat apabila besi pelancar terlepas daripada kren lalu menimpa pekerja," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita sewaktu ditemui ketika melawat keluarga mangsa kebakaran di Kampung Titian Baru, dekat sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11.30 pagi ini, lima pekerja binaan cedera dengan tiga daripadanya parah selepas kerangka lama bumbung itu yang dalam proses baik pulih dilaporkan runtuh.

Sebahagian stadium sama yang dibina pada 2 Jun 2009 dengan kos RM292 juta pernah runtuh dalam kejadian pada 2 Jun 2009, kira-kira setahun selepas dirasmikan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin.

Kerosakan itu melibatkan bumbung di bahagian timur stadium sepanjang 400 meter yang menempatkan pintu masuk utama, pintu A, B dan B1 ke tempat duduk awam dan tempat duduk tetamu diraja serta orang kenamaan (VIP).

Cetak Emel