• Arkib Berita
  • 2013
  • 2 loji biogas di Felda Sahabat beroperasi akhir tahun depan
Slider

2 loji biogas di Felda Sahabat beroperasi akhir tahun depan

Utusan Online, 7 Disember 2013

news 07122013
Mohamad Nazri Mustafa (kiri) menyaksikan Daud Amatzin (tengah) menyampaikan sijil kepada seorang peserta kursus sewaktu penutupan Program Meningkatkan Kesedaran Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Dalam Kalangan Pekerja FGVPM Zon Sabah di Dewan Masyarakat Desa Kencana, Lahad Datu, Sabah, kelmarin.

LAHAD DATU 6 Dis. - Dua loji biogas milik Felda Global Ventures Holdings Bhd. (FGV) yang dijangka beroperasi pada akhir tahun depan bakal membawa kelebihan kepada syarikat itu untuk terus memberi sumbangan besar kepada industri sawit negara.

Pengurus Besar Wilayah Sahabat Barat, Mohamad Nazri Mustafa berkata, dua loji biogas tersebut yang terletak di Felda Sahabat, dekat sini, akan mengurangkan kebergantungan syarikat kepada bahan bakar seperti diesel untuk menggerakkan operasi terutamanya di peringkat pengilangan.

Katanya, dua loji biogas dari Kilang Sawit Baiduri Ayu dan Kilang Sawit Mercu Puspita itu akan menghasilkan gas daripada loji kumbahan kelapa sawit bagi menghasilkan tenaga baharu.

Menurutnya, loji baharu itu akan mengimbangi sebahagian besar bekalan tenaga elektrik di Felda Sahabat yang dijanakan oleh Loji Tenaga Sahabat Biomass, menggunakan 100 peratus tandan kosong kelapa sawit dengan kapasiti 7.5 megawatt.

"Ini merupakan sebahagian daripada usaha pihak syarikat dalam menjana sumber tenaga diperbaharui menerusi projek-projek yang ingin dilaksanakan bagi mengimbangi kebergantungan kepada bahan bakar diesel.

"Selain mesra alam, tenaga diperbaharui melalui dua loji baharu tersebut akan memberi kelebihan buat syarikat untuk mengurangkan kos yang ditanggung selama ini," katanya yang ditemui dalam majlis perasmian Kursus Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan FGV bersama Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kebangsaan (NIOSH) di sini semalam.

Yang hadir sama, Pengerusi NIOSH, Tan Sri Lee Lam Thye; Ketua Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kumpulan FGV yang juga Timbalan Presiden Kumpulan FGV, Daud Amatzin serta Pengurus NIOSH Wilayah Sabah dan Labuan, Hussin Abdul Salam.

Mengulas lanjut, Mohamad Nazri berkata, operasi daripada dua loji baharu itu pada akhir tahun hadapan akan menjadikan Felda Sahabat sebuah kawasan perladangan yang unik di negara ini.

Jelasnya, bermula dengan pembukaan tanah, menanam sawit sehingga proses menghasilkan produk serta aktiviti dieksport dengan menggunakan kemudahan jeti Felda Sahabat, dua loji tersebut akan mengukuhkan lagi sumbangan pengeluaran sawit negara.

Katanya, Felda Sahabat yang dianggarkan sebesar negeri Melaka ketika ini menyumbangkan kira-kira 30 peratus daripada hasil pengeluaran sawit negara.

"Terdapat 46 ladang dengan keluasan 102,000 hektar di Felda Sahabat ini, selain sembilan kilang, 13 anak syarikat Felda dan melibatkan hampir 20,000 pekerja," katanya.

Cetak Emel