Breadcumb Caption
  • Arkib Berita
  • 2013
  • Kesedaran majikan, pekerja perlu ditingkatkan
Breadcumb Caption
  • Arkib Berita
  • 2013
  • Kesedaran majikan, pekerja perlu ditingkatkan

Kesedaran majikan, pekerja perlu ditingkatkan

Utusan Online, 15 November 2013

 

MARAN 14 Nov. - Pihak majikan dan pekerja perlu meningkatkan kesedaran menjaga keselamatan di tempat kerja kerana sebarang insiden kemalangan bukan sahaja menjejaskan individu terbabit malah memberi kesan dari segi kos kepada organisasi.

Ahli Parlimen Maran, Datuk Ismail Abd. Muttalib berkata, perkara itu memandangkan majikan perlu membayar kos rawatan, ganti rugi, dan pampasan kepada keluarga mangsa malah yang lebih penting akan kehilangan tenaga produktif.

"Sehubungan itu, setiap majikan perlu mengambil inisiatif dan langkah proaktif bagi mencegah kejadian yang boleh memudaratkan keselamatan dan kesihatan pekerja masing-masing.

"Ini terbukti apabila Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) membelanjakan lebih RM2 bilion bagi membayar faedah kepada 300,000 pekerja terbabit kemalangan sepanjang tahun lalu," katanya.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Sumber Manusia berkata demikian kepada Utusan Malaysia selepas majlis sumbangan cek bernilai lebih RM70,000 kepada 30 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di bilik mesyuarat Pejabat Pendidikan Daerah Maran, di sini baru-baru ini.

Jelasnya, kerajaan yang prihatin mewujudkan Pelan Induk Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSH-MP) 2010-2015 bagi meningkatkan kesedaran, pengetahuan, keselamatan dan kesihatan pekerjaan.

Tambah beliau, OSH-MP itu secara langsung dapat meningkatkan kesedaran dan kesihatan diri individu demi keselamatan diri, keluarga dan orang ramai.

"Pelan induk yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak itu adalah strategi meminimumkan kadar kemalangan di tempat kerja," katanya.

Menurutnya, sehingga Jun lalu, sebanyak RM1.032 bilion dibayar kepada kira-kira 160,000 pekerja yang terbabit dalam kemalangan di tempat kerja.

Sehubungan itu, tambahnya, Majlis Negara bagi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (NCOSH) dan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) perlu mencari alternatif bagi mengurangkan kadar kemalangan di tempat kerja.

 

Cetak Emel