• Arkib Berita
  • 2013
  • Sedia terima cadangan NIOSH
Slider

Sedia terima cadangan NIOSH

MyMetro Online, 8 November 2013

 

Kuala Lumpur: Kementerian Pendidikan bersedia berbincang dan menerima cadangan pihak luar berhubung tahap keselamatan guru dan pelajar di sekolah.

Menteri Pendidikan Datuk Idris Jusoh berkata pihaknya sedia menerima cadangan yang dirasakan wajar dan relevan dengan pendidikan di sekolah.


“Sebelum ini, KPM juga mempunyai beberapa program sendiri dalam usaha meningkatkan tahap keselamatan di sekolah.

 

“Namun begitu, kita tidak keberatan untuk menerima pandangan pihak luar bagi menambah baik tahap keselamatan sedia ada,” katanya ketika mengulas tawaran Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kebangsaan (NIOSH) bagi mewujudkan kesedaran mengenai keselamatan dan kesihatan pekerjaan (OSH) di sekolah.


Akhbar kelmarin melaporkan Pengerusi NIOSH Tan Sri Lee Lam Thye merasakan OSH perlu diperkenalkan di sekolah bagi menjadikan sekolah sebagai tempat yang lebih selamat dan sihat untuk guru, pelajar dan pelawat.


Menurutnya lagi, sebelum ini beberapa kemalangan berlaku di sekolah seperti runtuhan struktur bangunan, kipas siling, tiang gol, dan letupan berpunca daripada bahan kimia menyebabkan ancaman keselamatan berlaku.

Terdahulu, Idris menyampaikan anugerah sempena Majlis Hari Inovasi Dewan Pustaka dan Bahasa (DBP), di sini, semalam.


Dalam majlis tersebut, DBP memperkenalkan tiga anugerah baru iaitu Anugerah Citra Karya DBP, Anugerah Citra Penerbitan DBP dan Anugerah Citra Program/Projek DBP diberikan kepada warga kerja DBP secara individu atau berkumpulan.

 

Cetak Emel