Dalam kejadian kira-kira pukul 10.30 pagi itu, keempat-empat mangsa yang merupakan pekerja pembinaan berusia dalam lingkungan 30-an sedang menjalankan rutin harian di kawasan Tapak Pembinaan Plot 3, sebelum kren setinggi 50 meter itu terjatuh dan menghempap mereka.

Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Shafien Mamat berkata, mang­sa yang dikenali sebagai Matrias meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke Hospital Shah Alam (HSA) akibat kecederaan parah di bahagian kepala, badan, serta kaki.

“Pada masa yang sama, seorang lagi rakan senegara mangsa ketika ini berada dalam keadaan kritikal dan sedang menjalani rawatan lanjut di HSA.

“Dua lagi pekerja yang merupakan warga Bangladesh dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang dengan seorang daripadanya mengalami patah kaki. Kedua-duanya bagaimanapun stabil,” katanya ketika hubungi di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Shafien mem­beritahu, ketika kejadian kesemua mangsa berada di tapak pembinaan bangunan berkenaan yang baharu sahaja selesai kerja-kerja menyiapkan tingkat satu.

Tambahnya, pihaknya masih meneruskan siasatan lanjut dan kes itu buat masa ini diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.