Breadcumb Caption
  • Archive News
  • 2017
  • JKKP Sabah Terus Komited Laksana Audit Di Sektor Awam - Bernama
Breadcumb Caption
  • Archive News
  • 2017
  • JKKP Sabah Terus Komited Laksana Audit Di Sektor Awam - Bernama

JKKP Sabah Terus Komited Laksana Audit Di Sektor Awam - Bernama

Bernama Online, 25 Ogos 2017

 

  

KOTA KINABALU - Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Sabah komited melaksanakan audit pematuhan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (AKKP 1994) di sektor awam bagi memastikan keselamatan pekerja di tempat kerja sentiasa terjamin.

Pengarah JKKP Sabah Mohd Zahari Hitam berkata pada tahun ini, audit pematuhan AKKP 1994 akan memfokuskan kepada hospital awam, jabatan di bawah Kementerian Sumber Manusia serta agensi berisiko tinggi.

"Sebagai penggubal, pelaksana dasar dan perundangan, kerajaan merupakan pemacu utama bagi memastikan peningkatan tahap Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) negara menerusi pelbagai kaedah dan pendekatan sebagai insiatif dalam menerapkan budaya pencegahan di tempat kerja," katanya ketika berucap merasmikan Bengkel Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Sektor Awam (HIRARC) peringkat negeri Sabah, Khamis.

Zahari berkata pada tahun lepas, JKKP telah melakukan audit di 35 agensi kerajaan di Sabah dan mendapati banyak agensi masih kurang peka mengenai tahap pematuhan AKKP 1994, pengurusan dokumen KKP serta kesedaran pihak pengurusan dan kumpulan sokongan penjawat awam kurang memuaskan.

Menurutnya, ketua agensi, jabatan dan penjawat awam perlu memberikan komitmen baik dalam meningkatkan tahap keselamatan dan kesihatan pekerja di tempat kerja di samping mengamalkan pengurusan KKP berkesan agar keselamatan dan kesihatan penjawat awam terjamin," katanya.

Mengenai majlis itu, seramai 50 peserta daripada pelbagai agensi kerajaan menyertai bengkel berkenaan untuk memberi pendedahan kepada penjawat awam berkaitan perundangan KKP, sistem pengurusan dan amalan KKP bagi menjadikan tempat kerja di sektor awam sentiasa kondusif.

Beliau berkata, bengkel sehari itu memfokuskan kepada HIRARC iaitu 'Hazard Identification, Risk Assesment and Risk Control' selaras dengan Pelan Induk Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 2020 (OSHMP2020) yang telah dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tahun lepas.

"OSHMP2020 merupakan agenda negara yang berupaya menyumbang kepada pengurangan kadar kemalangan dan kesihatan pekerja selain meningkatkan kualiti hidup masyarakat khususnya penjawat awam," katanya.

Bengkel anjuran JKKP itu turut mendapat kerjasama daripada Majlis Negara bagi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (MNKKP) serta Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja dalam Perkhidmatan Awam Malaysia (CUEPACS).

Print Email