Kilang besi di China meletup, 68 maut

Utusan Online, 3 Ogos 2014

Kilang besi di China meletup 68 maut 1338
Beberapa orang pekerja yang cedera dalam kejadian letupan di sebuah kilang besi di Kunshan, wilayah Jiangsu berkumpul di luar bangunan kilang itu, menunggu ketibaan ambulans, semalam. - AFP

BEIJING 2 Ogos - Sekurang-kurangnya 68 orang terbunuh, manakala lebih 150 orang lagi cedera apabila sebuah kilang besi meletup di timur China, awal pagi ini dipercayai akibat kemalangan industri.

Stesen penyiaran CCTV melaporkan insiden itu berlaku di Kunsha, sebuah bandar di wilayah Jiangsu, melibatkan kilang pembuatan kereta, Kunshan Zhongrong Metal Products Ltd yang turut menghasilkan produk untuk syarikat automatif Amerika Syarikat (AS), General Motors.

CCTV melaporkan sebanyak 450 pekerja berada di kilang itu, yang terletak kira-kira 75 kilometer dari Shanghai ketika kejadian berlaku dengan 40 daripada mereka mati di tempat kejadian, manakala 25 lagi meninggal dunia di hospital.

Ada laporan mendakwa, pihak pengurusan mengunci pintu di dalam kilang untuk mengelakkan pekerja menggunakan tandas, sekali gus menyebabkan angka kematian yang tinggi.

Sementara itu, agensi berita Xinhua melaporkan letupan berkenaan bermula di bengkel mengilatkan besi sebelum merebak ke bahagian lain di kilang berkenaan.

Jelas laporan tersebut, siasatan awal mendapati letupan itu berpunca akibat debu yang terhasil daripada proses mengilatkan besi menggunakan suhu tinggi yang mencetuskan kebakaran dan letupan.

Foto yang disiarkan melalui laman sosial menunjukkan keadaan yang teruk apabila mayat mangsa yang berkecai diletakkan di atas pengusung, manakala beberapa mangsa yang mengalami kecederaan terbakar berkumpul di luar kilang untuk mendapatkan rawatan.

Sekumpulan pasukan perubatan dari Shanghai turut dikerah ke lokasi kejadian untuk membantu merawat mangsa yang cedera. - AFP/REUTERS

Print