Breadcumb Caption
  • Archive News
  • 2018
  • JPN serah laporan siasatan - Sinar Harian
Breadcumb Caption
  • Archive News
  • 2018
  • JPN serah laporan siasatan - Sinar Harian

JPN serah laporan siasatan - Sinar Harian

Sinar Harian Online, 02 Mac 2018

 

 

SEREMBAN - Laporan siasatan insiden membabitkan pelajar Tingkatan Dua yang maut akibat terkena bilah pisau mesin rumput, telah diserahkan kepada Kementerian Pendidikan. Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sembilan, Pkharuddin Ghazali berkata, laporan tersebut diserahkan dua minggu lalu bagi membolehkan pihak kementerian menelitinya dengan lebih mendalam. “Memandangkan kes ini di bawah siasatan polis, kita tidak mahu kacau siasatan yang sedang mereka lakukan, sama ada terhadap pemandu, pihak pengurusan sekolah mahupun pihak-
pihak lain, biar polis buat siasatan. “Tetapi bagi pihak jabatan, kita telah pun memberi penegasan kepada semua sekolah dan kontraktor sekolah Negeri Sembilan agar mematuhi SOP ditetapkan.

“Mana-mana kerja yang menggunakan jentera dan mesin, hanya boleh dilakukan pada waktu cuti sekolah atau selepas habis waktu persekolahan sahaja bagi mengelakkan kejadian berulang,” katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Perasmian Surau Sekolah dan Dewan Terbuka Berbumbung Serta Penyampaian Bantuan Khas Persekolahan 1 Malaysia, di Sekolah Kebangsaan Datuk Akhir Zaman Rantau, semalam. Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan. Menurut Pkharuddin, sebelum ini pihak sekolah hanya diberi makluman bahawa setiap kerja-kerja pembersihan dilakukan setiap dua minggu sekali dan hanya boleh dilakukan semasa ketiadaan murid di padang.

Tetapi, kali ini katanya, penegasan terhadap SOP kerja perlu dipatuhi oleh semua pihak tanpa kompromi, demi menjaga keselamatan semua. Tambahnya, jawatankuasa siasatan diketuainya itu turut disertai pihak sekolah, Pejabat Pendidikan Daerah Tampin, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerja (JKKP), hospital serta polis. Dalam pada itu, Pkharuddin berkata pihak sekolah telah menyerahkan wang insurans pelajar sebanyak RM5,500 kepada keluarga pelajar yang maut.

“Saya telah menyerahkan insurans tersebut kepada keluarganya, dan mereka juga reda dengan insiden yang berlaku. “Kita juga telah lakukan perbincangan secara bersama dan menganggapnya bahawa kejadian itu adalah satu kemalangan,” katanya. Beliau berkata, pihak sekolah akan mengadakan sesi kaunseling secara berkelompok dan individu kepada pelajar terlibat. “Pihak sekolah juga telah mengadakan taklimat mengenai aspek keselamatan kepada semua pelajar selain membuat kunjungan berjadual kepada tiga keluarga mangsa terbabit,” katanya. Dalam kejadian 13 Februari lalu, Nur Afini Roslan, 14, maut di lokasi, manakala dua pelajar lelaki mengalami kecederaan.

 

Print Email