• Archive News
  • 2018
  • Seorang maut, dua cedera kren pembinaan MRT tumbang - Utusan Online
Slider

Seorang maut, dua cedera kren pembinaan MRT tumbang - Utusan Online

Utusan Online, 04 Mac 2018

    

 

KUALA LUMPUR 4 Mac - Seorang lelaki maut manakala dua lagi cedera dalam kejadian kren tumbang di tapak pembinaan Transit Aliran Massa (MRT) di Jinjang, dekat sini malam tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jinjang, Mohamad Adha Md. Nazir berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 11.30 malam itu, mangsa, Firdaus Md. Taib, 41, meninggal dunia di tempat kejadian.

“Kita terima panggilan pada pukul 11.49 malam mengatakan ada pekerja terjatuh dari tapak pembinaan jambatan MRT tersebut.

“Setibanya anggota di tempat kejadian mendapati, sebuah kren telah menggelungsur dan jatuh dari ketinggian dianggarkan 12 meter serta terdapat tiga orang mangsa,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Tambah Mohamad Adha, sebanyak 30 pegawai dan anggota dari BBP Jinjang, Seri Hartamas dan Jalan Hang Tuah dikejarkan ke tempat kejadian untuk tugas mencari dan menyelamat mangsa.

Katanya, dua lagi mangsa, Zulhelmi Arsyad, 24, mengalami kecederaan di pergelangan kaki, manakala seorang lagi, Asmawi Yahya, 38, turut mengalami kecederaan dan dibawa ke hospital berdekatan. - UTUSAN ONLINE

 

                                          

Print Email