PMU runtuh: Notis henti kerja serta-merta - Berita Harian Online

Berita Harian Online, 11 Januari 2018

    

 

KUALA LUMPUR: Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Kuala Lumpur, mengeluarkan notis pemberhentian kerja serta-merta ke atas aktiviti pembinaan pencawang masuk utama (PMU) di Jalan Cochrane, di sini, yang runtuh, petang semalam.

Tindakan itu dilakukan bagi membolehkan punca sebenar kejadian runtuhan yang mengorbankan satu nyawa, dapat dijalankan.

Dalam kejadian jam 5.30 petang semalam, struktur bangunan PMU yang dalam pembinaan itu runtuh dan menyebabkan seorang pekerja binaan warga Bangladesh, maut akibat dihempap konkrit dan perancah.

Tiga lagi pekerja yang sedang meratakan konkrit di tingkat 3 bangunan itu bersama mangsa, berjaya menyelamatkan diri.

Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, Datuk Ir Mohtar Musri, berkata hasil siasatan awal mendapati terdapat kegagalan dalam sistem kerja aktiviti konkrit dan pihak JKKP akan menjalankan siasatan lanjut secara terperinci.

"JKKP memandang serius setiap insiden dan kemalangan yang berlaku terutamanya membabitkan pekerja mahu pun orang awam.

"Adalah menjadi tanggungjawab majikan dan juga pekerja untuk memastikan keselamatan dan kesihatan di tempat kerja," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, tindakan perundangan akan diambil jika didapati wujud pelanggaran peraturan di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (1994) serta Akta Kilang dan Jentera (1967).

"Mereka yang terbukti bersalah, boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara dua tahun atau kedua-duanya.

"Justeru, semua penggiat industri pembinaan perlu mempertingkatkan tahap keselamatan dan kesihatan pekerjaan bagi mengelakkan berlakunya kemalangan," katanya.

Print