Kemalangan di tempat kerja berkurangan - Harian Metro

Harian Metro, 17 November 2017

  

 

 news hmo 171117

SEBANYAK 41,005 kemalangan di tempat kerja membabitkan pelbagai sektor di negara ini dicatatkan sepanjang tempoh 2016 dengan purata dua maut untuk setiap 1,000 pekerja. Menteri Sumber Manusia Datuk Sri Dr Richard Riot berkata jumlah kemalangan itu berkurangan berbanding tahun sebelumnya membuktikan kejayaan Pelan Strategik Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan(KKP) 2006-2010 dan Pelan Induk KKP 2011-2015(OSHMP 15).

Beliau berkata,komitmen tinggi dan usaha bersama antara kerajaan, majikan dan pekerja berjaya merealisasikan matlamat menurunkan kadar kemalangan di tempat kerja. "Oleh itu, kerjasama strategik perlu diperbanyakkan lagi terutama membabitkan sektor binaan dan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan(JKKP) bagi memastikan keselamatan berada pada tahap optimum.

"Perkongsian pengalaman dan kepakaran dalam isu KKP dapat memantapkan lagi pengetahuan dalam usaha mencegah setetusnya mengurangkan kemalangan," katanya, menerusi teks ucapan yang dibacakan Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Sri Ismail Abd Muttalib pada Majlis Anugerah Cemerlang Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kebangsaan 2017, di Kuala Lumpur, malam ini.

Hadir sama pada majlis itu, Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia Datuk Dr Mohd Gazali Abas dan Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Negara (NIOSH) Tan Sri Lee Lam Thye. Seramai 24 pemenang daripada pelbagai sektor diraikan pada majlis berkenaan dengan Berita Harian memenangi anugerah media.

Selain itu, beliau juga berkata, anugerah cemerlang KKP sudah melebih 20 tahun penganjuran dengan 500 syarikat serta organisasi di negara ini diiktiraf seterusnya dinobatkan sebagai pemenang pelbagai kategori. "Kita mahu langkah pencegahan dilaksanakan supaya kemalangan ditempat kerja dapat dielakkan menerusi garis panduan yang sudah ditetapkan JKKP,"katanya.

Print