Breadcumb Caption
  • Archive News
  • 2017
  • Industri pelancongan wajar terima pakai OSH
Breadcumb Caption
  • Archive News
  • 2017
  • Industri pelancongan wajar terima pakai OSH

Industri pelancongan wajar terima pakai OSH

Berita Harian Online, 19 September 2017

 

  

JOHOR BAHRU: Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) mahu industri pelancongan menerima pakai konsep keselamatan dan kesihatan pekerjaan (OSH) untuk pelancongan bagi memastikan jumlah kemalangan serta masalah kesihatan dalam sektor itu dapat dikurangkan.

Pengerusinya, Tan Sri Lee Lam Thye, berkata walaupun sepanjang tahun lalu pihaknya hanya merekodkan 87 kemalangan dengan tiga kematian berlaku dalam sektor, jumlah sebenar dipercayai jauh lebih tinggi berikutan tiada data yang lengkap.

Sehubungan itu beliau mencadangkan supaya satu unit khas diwujudkan di bawah Kementerian Pelancongan dengan tanggungjawab mengumpul perangkaan berkaitan kemalangan dan kesihatan dalam sektor itu bagi membolehkan langkah menambah baik dijalankan dengan lebih efektif.

"Saya cadangkan supaya kita menubuhkan satu unit khas yang diberi tanggungjawab untuk mengumpulkan segala data perangkaan mengenai kejadian kemalangan yang membabitkan sektor pelancongan.

"Langkah ini perlu kerana dapat membantu membuat perancangan pada masa akan datang mengenai situasi sebenar kejadian kemalangan yang membabitkan sektor pelancongan dan bagaimana isu itu boleh ditangani dengan lebih berkesan," katanya pada sidang media selepas merasmikan Seminar Kesedaran OSH Dalam Sektor Pelancongan, di Pusat Konvesyen Antarabangsa Persada Johor, di sini, hari ini.

Lam Thye berkata, sebanyak 42 kemalangan dalam sektor perhotelan dan restoran dicatatkan di seluruh negara dalam tempoh tujuh bulan pertama tahun ini.

Katanya, jumlah itu mungkin dua atau tiga kali ganda lebih tinggi kerana pihaknya tidak mempunyai data yang tepat.

"Setakat ini kita tiada badan khas yang boleh menyelaraskan untuk pengumpulan data. Banyak agensi terbabit seperti pasukan polis, bomba, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Kementerian Kesihatan," katanya.

 

 

 

Print Email