Breadcumb Caption
  • Archive News
  • 2017
  • 3,820 syarikat belum daftar MyKKP - Berita Harian Online
Breadcumb Caption
  • Archive News
  • 2017
  • 3,820 syarikat belum daftar MyKKP - Berita Harian Online

3,820 syarikat belum daftar MyKKP - Berita Harian Online

Berita Harian Online, 08 Mei 2017

 

 

news bho 080517 

TIMBALAN Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Johor, Ahmad Jailani Mansor menunjukkan papan perkhidmatan MyKKP pada sidang media di Johor Bahru, hari ini. - Foto Zain Ahmed

 

JOHOR BAHRU: Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Johor mengenal pasti lebih 3,820 kilang dan tempat kerja belum mendaftarkan syarikat sebagai pengguna Sistem Perkhidmatan Dalam Talian JKKP (MyKKP).

Timbalan Pengarahnya, Ahmad Jailani Mansor, berkata majikan perlu lebih bersedia dengan pelaksanaan sistem itu sejak diperkenalkan pada Jun 2015.

Di Johor, katanya, sebanyak 31,000 jentera yang mempunyai Sijil Perakuan Kelayakan (CF) dikenal pasti perlu menjalani pemeriksaan berkanun bagi memperbaharui CF jentera terbabit yang akan tamat sepanjang tahun ini.

"Setakat bulan lalu, hanya lapan peratus daripada 4,153 kilang dan tempat kerja iaitu pemilik jentera berkenaan berdaftar sebagai pengguna MyKPP bagi memanfaat perkhidmatan, termasuk pembaharuan sijil kecekapan operator kren serta semakan status kecekapan pekerja.

"Majikan kurang pendedahan mengenai manfaat sistem ini, selain kekurangan promosi yang menyukarkan orang awam dan majikan berurusan dengan pihak JKKP.

"Sehubungan itu, semua majikan digesa mendaftarkan syarikat dengan melantik seorang wakil syarikat sebagai pengguna MyKKP. Ini akan memudahkan mereka mendapat manfaat dari perkhidmatan ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan taklimat aplikasi MyKKP di sini, hari ini.

Ahmad Jailani berkata, kemudahan menerusi aplikasi MyKKP termasuk mempercepatkan proses penukaran hak milik jentera yang lebih berkesan hanya memerlukan sekurang-kurangnya tujuh hari waktu bekerja, selain pembayaran pemeriksaan jentera dan tempat kerja dijalankan secara dalam talian.

"Aplikasi MyKKP menguntungkan majikan kerana tidak perlu datang ke pejabat JKKP, manakala pelaksanaannya memenuhi langkah penjimatan kerajaan dengan urusan dalam talian," katanya.

Setakat bulan lalu, katanya, seramai 61,216 orang mendaftar sebagai pengguna MyKKP di seluruh negara, berbanding 5,585 pada 2015.

"Antara perkhidmatan yang mendapat sambutan ialah pembaharuan sijil kecekapan operator kren, drebar enjin dan pengendali perancah," katanya.

Print Email