2 pekerja kilang kritikal, bara arang batu meletup - Sinar Harian Online

Sinar Online, 10 November 2015

news sho 10112015
Keadaan tempat kejadian letupan yang menyebabkan tiga pekerja dikejarkan ke HRPB untuk rawatan.

TASEK – Dua pekerja kilang kritikal manakala seorang lagi cedera ringan selepas berlaku letupan kecil ketika mereka sedang memadam bara arang batu di sebuah kilang simen di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi itu, mangsa, Abdullah Alias, 25, dan Mohammad Najmuddin Zabidin, 24, melecur di beberapa bahagian badan manakala Zakir Hossain, warga Bangladesh pula cedera ringan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Ipoh, P Samasuvam berkata, empat jentera termasuk ambulan unit anggota penyelamat dan paramedik (EMRS) bersama 20 anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.

Menurutnya, siasatan awal mendapati tindak balas habuk arang batu dan bara menyebabkan letupan kecil akibat tekanan pemadam api debu kering yang digunakan mereka.

“Difahamkan mereka cuba memadam bara habuk arang batu dengan menggunakan pemadam api debu kering. Namun, tekanan daripada pemadam menyebabkan habuk arang berterbangan menyebabkan letupan kecil (dust explotion).

“Akibat daripada itu, berlaku kebakaran dan ia menyambar pakaian kesemua mangsa yang berada di aras lima tempat kejadian,” katanya di sini.Samasuvam berkata, kesemua mangsa dibawa mendapatkan rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).

Katanya, dua pekerja berusia 25 dan 24 tahun masih mendapatkan rawatan di unit kecemasan akibat kecederaan yang dialami mereka manakala, Zakir hanya menjalani rawatan sebagai pesakit luar.

“Anggota masih bertungkus lumus memadam kebakaran dan mengawal bara habuk arang batu dengan memakai alat pernafasan. Operasi dijalankan dengan penuh berhati-hati kerana ia perlu dikendalikan dengan perlahan agar tidak berlaku sebarang insiden lain.

“Kita menggunakan air membasahkan arang batu di aras satu hingga empat supaya bara di aras lima tidak merebak ke aras lain. Bagaimanapun kejadian ini tidak melibatkan struktur kilang berkenaan,” katanya.

 

Print