Bangunan empat tingkat runtuh - Sinar Harian Online

Sinar Online, 04 November 2015

news sho 61115 
Bangunan dalam pembinaan setinggi empat tinggi itu runtuh.

SABAK BERNAM - "Mujur bangunan tu runtuh ke kanan, kalau runtuh ke depan, mungkin rumah kedai yang kami diami pun boleh musnah," kata seorang saksi kejadian, Megan Wang, 30, selepas sebuah bangunan empat tingkat dalam proses pembinaan di Pekan Sekinchan, runtuh, semalam.

Megan berkata, dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang itu, dia bersama ibu bapa mertuanya berada di tingkat dua bangunannya dan mereka menyaksikan sendiri bangunan hadapan itu runtuh menyembah bumi dalam sekelip mata.

"Saya tengok runtuhan melalui cermin tingkap. Bangunan tu jatuh dengan bunyi yang kuat, seakan-akan helikopter terhempas dari udara," katanya kepada Sinar Harian.

Megan yang berniaga sebagai pemborong beras berkata, akibat runtuhan bangunan itu, serpihan batu bertaburan atas lantai selain habuk dan debu berterbangan di udara.

Megan memberitahu, sebelum kejadian, semua pekerja pembinaan tergesa-gesa keluar dari bangunan selepas mereka menyedari bangunan itu akan runtuh bila-bila masa saja.

"Nampak bangunan itu dah mulai condong dua jam sebelum runtuhan. Pekerja mereka dah siap sedia berkumpul atas jalan raya bagi mengawal kenderaan yang melalui jalan ini," katanya.

Seorang lagi saksi kejadian, Mohd Affandi Mat Isa, 27, berkata, kejadian itu berlaku terlalu pantas dan seolah-olah bermimpi apabila melihat bangunan itu runtuh depan mata.

"Masa kejadian saya sedang baiki motosikal pelanggan. Tiba-tiba tengok orang ramai berkumpul dan hanya beberapa saat saja bangunan tu rebah," katanya.

Pemilik bangunan, Phuah Chai Keong, 70-an berkata, dia mengetahui bangunan yang menelan belanja kos semasa RM200, 000 itu akan runtuh beberapa jam lebih awal selepas kontraktrornya memaklumkan bangunan itu berada dalam keadaan tidak selamat.

"Saya dah tahu bangunan ni akan runtuh. Kita dah suruh semua pekerja keluar dari bangunan. Saya ada semasa kejadian ini berlaku," ujarnya.

Chai Keong berkata, bangunan itu mula dibina kira-kira setahun lalu dan dijangka siap dalam tempoh beberapa bulan lagi, namun tidak menyangka hasrat untuk memiliki premis perniagaan sendiri belum kesampaian.

"Bukan senang kumpul wang bina bangunan, dah bina runtuh pula. Saya tetap lega kerana semua pekerja selamat tanpa sebarang kecederaan atau kematian berlaku di sini," ujarnya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sekinchan, Mohd Khairul Anuar Abu Bakar berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu pada jam 6.50 petang dan tiba ke tempat kejadian tiga minit selepas itu.

Katanya, operasi yang diketuai beliau sendiri bersama lapan anggotanya itu mendapati tiada mangsa yang terperangkap dan tidak mengakibatkan kebakaran kerana hanya runtuhan bangunan sahaja.

 

 

 

Print