Ajal dihempap tiang kren - Sinar Harian Online

Sinar Harian Online, 04 Oktober 2015

news sh 05102015 
Keadaan tiang kren yang patah dan menghempap mangsa

BUKIT MERTAJAM - Seorang pemandu kren maut apabila tiang kren yang sedang dikendalikannya patah dan menghempapnya ketika sedang melakukan kerja-kerja pembinaan di sebuah tapak pembinaan di Jalan Kebun Nenas, Bukit Tengah di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.45 pagi itu, mangsa, Lee Teow Hin, 65, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah kerana tersepit di tempat duduk pemandu kren.

Difahamkan, mayat mangsa berjaya dikeluarkan kira-kira 30 minit kemudian oleh anggota bomba yang mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan khas.

Difahamkan, mangsa yang berasal dari Sungai Petani, Kedah itu dikatakan ditimpa kren patah ketika menurunkan batang besi daripada sebuah treler.

Seorang saksi yang enggan dikenali berkata, ketika mangsa mengangkat besi berkenaan tiba-tiba kren itu tidak seimbang sebelum menimpa mangsa.

“Keadaan berlaku terlalu pantas dan mangsa tidak sempat untuk lari menyelamatkan diri.

“Pekerja lain di tapak pembinaan berkenaan juga tidak dapat berbuat apa-apa sehingga menunggu pasukan bomba sampai di tempat kejadian,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Superintendan Baharom Abu ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Bukit Mertajam untuk bedah siasat.

 

Print