Breadcumb Caption
  • Archive News
  • 2015
  • Kemalangan industri meningkat - The Borneo Post Online
Breadcumb Caption
  • Archive News
  • 2015
  • Kemalangan industri meningkat - The Borneo Post Online

Kemalangan industri meningkat - The Borneo Post Online

Borneo Post Online, 18 August 2015

KUCHING: Kadar kemalangan industri di Malaysia dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini menunjukkan peningkatan, kata Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Richard Riot Jaem.

Jelasnya, berdasarkan statistik Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), sebanyak 2,942 kemalangan industri direkodkan pada bulan Januari tahun ini dan meningkat kepada 4,325 pada Februari.

Beliau menambah, bilangan tersebut terus meningkat kepada 8,173 pada Mac dan 11,147 pada April.

“Saya menggesa semua pihak yang berkepentingan di Malaysia untuk bekerjasama bagi mengurangkan kemalangan industri di negara ini.

“Ini adalah penting di mana tempat kerja yang selamat akan menarik banyak pelaburan asing ke negara ini kerana pelabur asing akan cenderung untuk melabur di negara-negara yang mempunyai kadar kemalangan industri yang kecil supaya mereka dapat memaksimumkan pelaburan dan mengurangkan kos operasi,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Persidangan dan Pameran, Kesihatan dan Keselamatan Pekerjaan (BOSH) Borneo Ke-4 di sebuah hotel terkemuka di sini, semalam.

Hadir sama Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) Tan Sri Lee Lam Thye dan Pengarah PERKESO Negeri John Riba.

Terdahulu, Riot berkata kadar kemalangan industri di Malaysia dalam tempoh lima tahun lalu adalah pada trend menurun iaitu daripada 35,603 pada 2010 kepada 35,309 tahun lepas.

Sehubungan itu, beliau berkata berdasarkan kajian yang dijalankan oleh beberapa pihak untuk International Labour Organization (ILO) pada tahun 2014, dianggarkan sebanyak 2.3 juta kematian berkaitan pekerjaan berlaku setiap tahun di seluruh dunia.

Menurutnya, majoriti daripada kematian berkenaan adalah disebabkan oleh penyakit yang berkaitan kerja iaitu menyumbang dua juta kematian, manakala selebihnya adalah disebabkan oleh kemalangan pekerjaan.

“Ini bermakna dianggarkan 6,300 orang terkorban setiap hari kerana sebab-sebab berkaitan kerja,” katanya.

Sementara itu, Riot berkata semakin banyak syarikat di negara ini yang mula melaksanakan keselamatan dan sistem pengurusan kesihatan sebagai sebahagian daripada prosedur kerja mereka.

“Dengan majikan dan pekerja memainkan peranan masing-masing maka akan kurang kemalangan di tempat kerja,” katanya.

Persidangan BOSH 2015 adalah acara dua tahun sekali yang dianjurkan oleh NIOSH Malaysia bagi membincangkan isu-isu semasa dan cabaran dalam Kesihatan dan Keselamatan Pekerjaan (OSH).

Persidangan selama dua hari itu akan menyaksikan pembentangan 15 kertas kerja oleh wakil-wakil dari agensi dan jabatan kerajaan, perbadanan korporat, institusi pendidikan tinggi serta NIOSH.

Pameran turut diadakan oleh kira-kira 30 syarikat serta organisasi yang menampilkan perkhidmatan dan produk berkaitan OSH.

 

Print Email