Breadcumb Caption
  • Archive News
  • 2015
  • Sasar turun kemalangan 
di tempat kerja - Utusan Online
Breadcumb Caption
  • Archive News
  • 2015
  • Sasar turun kemalangan 
di tempat kerja - Utusan Online

Sasar turun kemalangan 
di tempat kerja - Utusan Online

Utusan Online, 20 Mei 2015 

PUTRAJAYA 19 Mei - Kementerian Sumber Manusia berhasrat mengurangkan kadar kemalangan di tempat kerja sebanyak 20 peratus tahun ini bagi mengekalkan kedudukan terendah Malaysia dalam kalangan negara di rantau Asia Tenggara.

Menterinya, Datuk Seri Richard Riot Jaem berkata, pada tahun lalu Malaysia mencatatkan sebanyak 42,148 kemalangan di tempat kerja dengan 573 kematian, antara sektor penyumbang terbesar ialah sektor pembuatan dan perkhidmatan.

Beliau berkata, ketika ini Malaysia berada di kedudukan terendah berbanding Thailand, Indonesia dan Kemboja, namun belum mampu untuk mengatasi pencapaian Singapura yang lebih rendah kadar kemalangan di tempat kerja.

“Bagi menjayakan hasrat ini semua pihak perlu memainkan peranan masing-masing termasuk pekerja dan juga majikan, sebarang kecuaian perlu dielakkan selain majikan juga perlu menyediakan segala akses keselamatan di tempat kerja.

“Sasaran tersebut tidak mustahil untuk dicapai dan ketika ini nisbah kemalangan di tempat kerja di Malaysia ialah 3.1 peratus daripada 1,000 pekerja, saya berharap Malaysia akan terus mengekalkan kedudukan terendah pada masa akan datang,” katanya.

“Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Seminar Kesedaran Ketua Pegawai Eksekutif 2015 anjuran Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kebangsaan (NIOSH) di sini hari ini.

Yang hadir sama, Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Seripuddin Kasim; Pengerusi NIOSH, Tan Sri Lee Lam Thye dan Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), Ir. Mohtar Musri.

Menurut Richard Riot, komitmen kerajaan dalam menitikberatkan keselamatan dan kesihatan pekerjaan di tempat kerja akan meningkatkan imej Malaysia di persada antarabangsa apabila syarikat di dalam dan luar negara yakin dengan keprihatinan kerajaan terhadap aspek tersebut.

Mengulas mengenai Seminar Kesedaran Ketua Pegawai Eksekutif 2015, Richard Riot berkata, seminar tersebut bertujuan menggalakkan majikan untuk mempertingkatkan kemahiran pekerja melalui program latihan keselamatan dan kesihatan pekerjaan.

“Saya yakin menerusi seminar ini, kita dapat mengurangkan kemalangan di tempat kerja kerana majikan didedahkan dengan pelbagai kaedah untuk membendung perkara tersebut terjadi di premis masing-masing.

“Saya difahamkan sebanyak 130 Ketua Pegawai Eksekutif terdiri daripada agensi kerajaan dan swasta menyertai seminar hari ini, jumlah kehadiran ini membuktikan mereka komited menjaga setiap kebajikan pekerja masing-masing,” katanya.

Print Email